Sabtu, 9 Jun 2012

KEMAHIRAN MENCARI MAKLUMAT - TAMBAHAN

Penulis: Anonymous
NOTA MENCARI MAKLUMAT

1. KEMAHIRAN MENCARI MAKLUMAT (TAMBAHAN)

1.1. Pendahuluan
Masyarakat yang kemaskini ialah masyarakat yang menggunakan maklumat yang mutakhir. Tanda-tanda sesuatu masyarakat pentingkan maklumat ialah seperti berikut:
1. Media maklumat banyak digunakan seperti radio, televisyen, telefon dan lain-lain jenis alat elekrtronik.
2. Bilangan surat khabar dan pembaca akhbar ramai.
3. Maklumat senang dan murah dihantar atau diperolehi.
4. Maklumat juga cepat bergerak di antara satu tempat dengan tempat lain.
5. Bilangan terbitan buku dan majalah baru juga banyak setiap hari.
6. Sikap gemar membaca.

1.2. Apakah itu mencari maklumat
Mencari maklumat bermaksud mencari maklumat yang dikehendaki dalam sebarang sumber yang sesuai. Ini termasuk kemahiran perpustakaan seperti menggunakan katalog dan sistem Dewey untuk mengesan buku dan bahan bukan buku yang dikehendaki dari rak buku dengan cepat.

Maklumat terdapat di dalam beberapa jenis dan daripada beberapa punca. Maklumat terdapat di dalam bentuk cetakan seperti buku rujukan, ensiklopedia, laporan tahunan dan sebagainya. Maklumat dari media cetakan yang selalu dirujuk untuk menyediakan laporan atau tugasan ialah buku rujukan, ensiklopedia, laporan tahunan, abstrak, gazetteer dan almanak.

Setelah sumber maklumat yang dikehendaki dapat dikesan, kemahiran yang seterusnya ialah cara menggunakan bahagian-bahagian buku dan bahan seperti daftar isi kandungan dan indeks untuk mengesan perkara yang berkenaan. Penggunaan bahan rujukan khusus yang lain seperti ensiklopedia, atlas serta alat teknologi maklumat yang moden seperti sistem maklumat berkomputer juga penting. Untuk bahan bukan buku, alat-alat teknologi yang lain seperti perakam suara atau perakam video diperlukan untuk memainkan pita audio atau pita video masing-masing.

Kadang-kadang, kemahiran mendapatkan maklumat dari luar perpustakaan atau luar sekolah juga diperlukan. Ini termasuk menjalankan tinjauan, temuduga atau kajian luar untuk mendapatkan maklumat yang khusus.

1.3. Langkah-langkah mencari maklumat.
Langkah-langkah mencari maklumat boleh dibuat dengan mengikut prosedur berikut:
1. Mencari bahan di perpustakaan melalui proses melihat kad katalog untuk buku rujukan.
2. Bagi bahan-bahan lain selalunya ia tersimpan di beberapa tempat tertentu di dalam perpustakaan. 3. Kalau tugas kita menyediakan sesuatu laporan, mungkin kita perlu merujuk beberapa buah buku perangkaan yang memberi kita angka-angka yang diperlukan.
4. Untuk mendapat maklumat dan perangkaan dari agensi kerajaan atau swasta, kita perlu merujuk kepada Bahagian Jurnal atau Penerbitan Berkala.
5. Semua bahan yang dirujuk perlu ada isi yang berkaitan dengan tajuk laporan yang sedang disediakan.
6. Perangkaan tidak memberikan maklumat di dalam bentuk ayat. Oleh itu, menggunakan perangkaan, perlu ada struktur ayat dibina untuk mencantumkan eberapa perangkaan yang tidak boleh berdiri dengan sendiri atau bermakna sendiri. Pusat Sumber boleh dikatakan juga pusat maklmat. Di dalamnya terdapat berbagai-bagai jenis maklumat yang tercatat atau tersimpan dalam berbagai-bagai jenis format.

Ada maklumat yang disimpan atau tercatat dalam buku, iaitu jenis cetakan, dan ada juga yang direkodkan di dalam pita audio, video, filem atau slaid. Cara kita mengesan buku yang ada di atas rak ialah dengan mengikut urutan aktiviti yang berikut :
1. Tentukan apakah maklumat yang hendak dicari atau diperolehi.
2. Apabila telah memilih pusat sumber sebagai salah satu tempat mendapatkan maklumat tersebut, pergi ke rak atau kabinet kad katalog.
3. Kalau anda tahu nama pengarang anda cari laci kad pengarang. Kalau anda tahu judul buku, cari di laci kad judul. Salah satu punca boleh memberitahu anda sama ada buku yang dicari ada atau tidak di perpusatakaan.
4. Catatkan maklumat buku yang ada di dalam kad katalog di atas cebisan kertas.
5. Tuju ke rak buku yang ada nombor penjelasan yang sama dengan nombor penjelasan di dalam kad katalog.
6. Kalau buku tiada di rak, berjumpa dengan puatakawan atau pembantunya untuk menempah buku yang dicari.
7. Kalau ada, buatkan pinjaman mengikut sistem pinjaman yang diamalkan.

Prosedur yang sama dijalankan untuk bahan bukan buku seperti pita audio, pita vieo, piring hitam, filem dan sebagainya.

1.4. Sumber-sumber pencarian maklumat

Kamus Maklumat.
Di dalam kamus ialah makna sesuatu perkataan serta cara menggunakannya. Ada juga kamus yang memberi maklumat tentang asal usul perkaaan serta sebutan atau bunyinya. Kamus dwibahasa juga ada memberikan makna terjemahan seperti dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris dan sebaliknya.

Ensiklopedia.
Maklumat yang terperinci dan kasar juga terdapat. Ada ensiklopedia mempunyai jilid maklumat umum atau kasar, yang disebut makro. Jika terdapat jilid yang menerangkan secara terperinci, ia disebut ensiklopedia mikro.

Atlas.
Maklumat di atlas asasnya ialah maklumat geografi. Kita akan memperolehi maklumat tentang nama negeri nama bandar, nama laut, nama gunung, nama selat, nama kawasan dan bentuk muka bumi yang lain. Daripada atlas juga terdapat maklumat tentang pertanian, perlombongan, pengangkutan, taburan penduduk, kedudukan sesuatu tempat di garisan bujur dan lintang dan sebagainya.

Buku Tahunan.
Buku Tahunan mengandungi maklumat tentang sesebuah negeri atau bidang di dalam sesuatu tahun. Contohnya, buku Information Malaysia: 1986 Yearbook.

Almanak.
Almanak ialah buku yang mengandungi banyak maklumat yang berbagai-bagai dan kemaskini. Ia mengandungi maklumat yang lebih kemaskini dari ensiklopedia. Ia juga mengandungi perangkaan, carta, ringkasan dalam semua bidang. Maklumat di Almanak disusun mengikut bentuk yang sama dengan Buku Tahunan.

Buku Panduan Telefon.
Maklumat daripada buku panduan telefon berkaitan dengan nombor telefon, nama pemilik, nombor tersebut serta alamat rumah pemilik.

Graf.
Membaca graf garisan memerlukan pengetahuan tentang skala. Kita juga perlu tahu membaca maklumat di paksi X dan paksi Y. Sukatan dan maklumat yang ada di paksi X dan paksi Y tercatat di sebelah kedua-dua paksi. Membaca graf pai pula dijalankan dengan melihat sektor-sektor yang ada di dalam grf pai. Di dalam sektor ini ada label dan nilai. Baca label dan nilai untuk mengetahui sesuatu maklumat seperti jumlah dagangan, jumlah penduduk, peratus golongan bandar dan luar bandar dan sebagainya.

Carta Maklumat.
Daripada carta boleh dikesan dengan membaca apa yang ada di dalam carta. Kadangkala ia memberi meklumat tunggal. Banyak carta memberi maklumat yang berkaitan.

Peta.
Di dalam peta terdapat beberapa jenis maklumat. Apabila membaca peta seperti peta topo, kita perlu mengetahui makna simbol atau lambang yang ada dalam peta. Kita juga perlu tahu makna sesuatu warna dan saiz skalanya. Semua maklumat ini ada di dalam ruangan petunjuk. Petunjuk dan skala terdapat di bahagian tepi bawah peta. Begitu juga arah angin. Kalau tiada arah angin, peta itu mempunyai arah utara di sebelah atas dan barat di sebelah kiri pembaca. Untuk mencari tempat seperti bandar gunakan garisan bujur atau lintang atau panduan grid bagi peta topo jika soalan mencari tempat disediakan dengan bacaan grid.

Gambar.
Sekeping gambar mengandungi banyak maklumat. Maklumat di gambar boleh dikesan dengan melihat bentuk, rupa atau warna yang ada di dalam gambar itu. Selepas dapat mengesan bentuk atau rupa, barulah kita menceritakan tentang ciri sesuatu bentuk, rupa atau warna sesuatu benda. Kita boleh buat lakaran di atas kertas berasaskan kepada rupa bentuk dan kedudukan sesuatu benda yang ada di dalam gambar.

Majalah.
Ia bermula dengan mencari tempat dan nama majalah. Senarai makalah yang ada di perpustakaan perlu dibaca dahulu untk mengetahui kehadiran sesuatu makalah atau majalah. Mungkin ia disimpan secara terbuka di rak-rak majalah atau ia perlu diminta dari pustakawan. Penuhkan borang khas untuk mendapatkan majalah dari simpanan tertutup. Baca isi kandungan serta bilangan muka suratnya untuk mendapat muka surat di mana sesuatu penulisan itu dicetak. Senarai kandungan ini boleh terdapat di halaman luar kulit depan atau kulit belakang. Ia juga boleh terdapat di halaman judul majalah itu sendiri.

Indeks.
Indeks merupakan himpunan senarai bahan seperti buku, majalah, akhbar dan bahan-bahan cetakan dan bahan cetakan yang lain. Ia memberikan pengguna mengesan dengan cepat butiran berkenaan dengan satu jenis bahan. Di pusat sumber terdapat banyak jenis indeks. Antaranya ialah indeks majalah seperti Popular Perriodical index.Dari indeks majalah contohnya, kita boleh mengesan nama majalah, tarikh diterbitkan, iaitu tahun atau bulan. Tahun, bulan dan juga nama majalah dan akhbar boleh jadi ditulis secara ringkasan sahaja. Dari indeks anda boleh juga mendapat maklumat tentang nombor jilid. Indeks majalah mengandungi juga nombor penjelasan. Ini terdapat di dalam indeks majalah Malaysia, keluaran Perpustakaan Negara Malaysia. Ia dikelaskan mengikut bahagian atau seksi dan perkara.

Bibliografi.
Maklumat yang ada di dalam bibliografi lengkap dengan nama pengarang, judul, penerbit, tempat terbitan, tarikh terbitan, saiz buku, bilangan muka surat, harga dan juga jenis jilidan (kulit tebal atau kulit nipis). Di dalam bibliografi am seperti bibliografi Negara Malaysia, ada seksi yang memuatkan indeks pengarang, judul dan siri. Indeks pengarang disusun mengikut abjad. Begitu juga perkara. Ini boleh dikatakan sebagai bibliografi ama tetapi disusun mengikut nama pengarang dan perkara. Bagi bibliografi khas ia hanya menyediakan butiran buku bagi sesuatu bidang sahaja sseperti bibliografi teknologi, bibliografi sejarah dan sebagainya. Kalau kita hendak mengesan bidang tertentu kita boleh merujuk kepada bibliografi khas ini.

1.5. Refleksi
Mengesan maklumat bermaksud mencari maklumat yang dikehendaki dalam sebarang sumber yang sesuai. Ini termasuklah kemahiran perpustakaan seperti menggunakan katalog dan sistem Dewey untuk mengesan buku dan bahan bukan buku yang dikehendaki dari rak buku dengan cepat.

Setelah sumber yang dikehendaki dapat dikesan, kemahiran yang seterusnya ialah cara menggunakan bahagian-bahagian buku dan bahan-bahan seperti daftar isi kandungan dan indeks untuk mengesan perkara yang berkenaan. Penggunaan bahan rujukan khusus yang lain seperti ensaiklopedia, atlas serta alat teknologi maklumat yang moden seperti sistem maklumat berkomputer juga penting. Untuk bahan bukan buku, alat-alat teknologi yang lain seperti perakam suara atau perakam video diperlukan untuk memainkan pita audio atau pita video masing-masing. Oleh itu, pelajar juga perlu diajar cara-cara menggunakan alat-alat rujukan khusus dan alat- alat teknologi pendidikan tersebut. Kadang-kadang, kemahiran mendapatkan maklumat dari luar perpustakaan atau luar sekolah juga diperlukan. Ini termasuk menjalankan tinjauan, interbiu atau kajian luar untuk mendapatkan maklumat yang khusus. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa pelajar dapat menguasai kemahiran mengesan maklumat dengan berjaya, khususnya selepas mereka mendapati bahawa kemahiran ini dapat membantu mereka dalam pelajaran mereka ( Wray, 1985 ).

2. KEMAHIRAN MENILAI MAKLUMAT

2.1. Pengenalan
Pada umumnya, maklumat pada masa ini adalah terlampau banyak dan mudah diperolehi terutamanya dengan adanya lebuhraya maklumat. Maklumat-maklumat ini perlu dipilih, diproses dan dinilai sebelum ia dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh pengguna. Setiap hari berjuta-juta tranksaksi maklumat dilakukan dalam pelbagai urusan. Berjuta-juta maklumat diproses dan dikeluarkan setiap minit di merata dunia. Hasil dari ledakan maklumat ini, maka teknologi maklumat menjadi sangat penting bagi manusia. Teknologi untuk mengumpul maklumat dengan tepat, memproses data dengan cekap dan teknologi menghantar maklumat dengan cepat sangat diperlukan untuk membantu manusia menguruskan jutaan maklumat masa kini. Oleh itu secara ringkasnya boleh dikatakan sebelum sesuatu maklumat dapat digunakan atau dipersembahkan, maklumat berkenaan mesti melalui beberapa peringkat proses seperti dianalisis, disintesis, ditaksir dan dinilai oleh pengguna. Oleh itu boleh dikatakan bahawa maklumat itu sendiri tidak mempunyai sebarang nilai. Nilai maklumat adalah bergantung kepada pengguna. Ini adalah kerana maklumat ini mungkin berguna untuk pengguna A tetapi sebaliknya bagi pengguna B.

2.2. Definisi Kemahiran Maklumat.
Kemahiran didefinisikan sebagai kebolehan, kecekapan atau kepandaian untuk melakukan sesuatu perkara. Maklumat pula dapat didefinisikan sebagai keterangan atau butiran-butiran yang berguna atau mempunyai maksud tertentu bagi seseorang yang memilikinya. Oleh itu kemahiran maklumat dapatlah diberi maksud sebagai kebolehan atau kemampuan seseorang memperolehi dan menggunakan maklumat. Kemahiran ini amat penting sekali kerana dalam zaman teknologi moden ini, dunia kita terdedah kepada ledakan maklumat. Oleh itu kemahiran ini dapat membantu seseorang itu mencari atau memperolehi maklumat dari pelbagai sumber seperti alat elektronik, sumber primer, perpustakaan, agensi-agensi persendirian atau kerajaan dan sebagainya. Kemudian maklumat ini dinilai dan digunakan semula.

2.3. Definisi Penilaian.
Penilaian boleh didefinisikan sebagai membuat pertimbangan mengenai nilai, idea- idea, kerja, penyelesaian, kaedah, bahan dan sebagainya untuk beberapa tujuan tertentu. Penilaian melibatkan penggunaan kriteria dan juga ‘ standard-standard ‘ untuk menilai sejauh mana sesuatu perkara itu tepat, berkesan, ekonomi atau memuaskan.

2.4. Kriteria Menilai Maklumat.
Secara umumnya terdapat lima kriteria yang boleh digunakan untuk menilai sesuatu maklumat. Antara kriteria-kriteria ini ialah :

2.4.1. Autoriti ( Authority ) - Autoriti dapat dilihat daripada dua segi iaitu pihak yang berkuasa atau bertanggung jawab dan pengarang ( author ). Hanya maklumat-maklumat yang diperolehi daripada sumber yang beroutoriti sahaja dapat diterima mengenai kesahan dan kebolehpercayaannya. Sebagai contohnya kalau Profesor Ungku Aziz menerbitkan sebuah buku yang berkaitan dengan isu-isu ekonomi negara. Maka pendapat dan cadangannya akan diterima oleh kebanyakan pihak kerana ini adalah bidang beliau. Sebaliknya kalau beliau membincangkan perkembangan sukan, ini mungkin akan menimbulkan keraguan banyak pihak. Disenaraikan beberapa panduan yang dapat membantu, antaranya ialah : Siapa penulis dan dari manakah dia memperolehi sumber ? Apakah isu yang dibincangkan dan adakah ini merupakan bidangnya ? Apakah sumber rujukannya ? Adakah maklumat itu dituliskan oleh dia sendiri atau cedok daripada sumber lain ?

2.4.2. Ketepatan Maklumat - Maklumat yang hendak disampaikan mesti tepat supaya dapat memberi maklumat yang berguna dan memberi manfaat kepada pihak yang menggunakannya. Dengan lain perkataan, maklumat yang tepat adalah maklumat yang bebas daripada sebarang kekurangan atau kesilapan supaya dapat menolong dalam membuat keputusan. Sebagai contoh, perangkaan atau statistik yang diperolehi daripada kajian atau penyelidikan dibuat hendaklah dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai tujuan penyelidikan yang dijalankan.

2.4.3. Saksama ( Impartiality ) - Maklumat-maklumat hendak memenuhi objektif pengguna. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa maklumat itu dapat menolong pengguna menyelesaikan masalah ataupun membuat keputusan. Maklumat yang dapat memenuhi obektif ialah maklumat yang tidak mempunyai sifat ‘ bias ‘ kerana dengan adanya sifat ini maka seseorang atau pihak akan mementingkan kepentingan diri.

2.4.4. Nilai Semasa ( Currency ) - Maklumat- maklumat yang kemaskini ( up to date ) adalah amat penting sekali. Faktor masa memainkan peranan yang penting dalam menentukan keberkesanan maklumat yang diterima. Maklumat yang semakin lama ( dari tempoh perolehan ) , maka keesahan dan kebolehpercayanya semakin rendah. Oleh itu antara perkara yang perlu diperhatikan ialah : Tarikh terbitan ? Tarikh pengumpulan maklumat. Edisi yang ke berapa ?

2.4.5. Lengkap dan Jelas ( Coverage ) - Maklumat-maklumat hendaklah memberi satu gambaran yang jelas dan lengkap mengenai sesuatu perkara. Maklumat-maklumat ini mestilah meliputi semua bidang yang berkaitan. Ini termasuklah mengenai maklumat-maklumat tambahan. Yang penting sekali ialah maklumat-maklumat ini hendaklah sentiasa konsisten.

2.5. Ciri-ciri Maklumat Yang Baik
2.5.1. Tepat ( Accurate ) - Maklumat yang tepat dapat menolong pengguna membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. Ini adalah kerana dengan maklumat yang tepat, pengguna tidak perlu lagi membuat perbandingan dengan maklumat dari sumber lain. Semakin tepat maklumat yang diperolehi, maka semakin rendah risiko yang bakal dihadapi oleh pengguna.

2.5.2. Cepat ( Timeless ) - Maklumat mestilah mudah dicapai apabila diperlukan. Cepat atau lambat memperolehi maklumat yang tepat akan menyebabkan pelbagai implikasi. Maklumat yang dapat diperolehi dengan cepat dan tepat akan membolehkan pengguna memperolehi keuntungan atau manfaat yang besar dan sebaliknya jika maklumat yang lambat diperolehi, maka besar kemungkinan maklumat itu sudah lapuk dan tidak memberi makna lagi.

2.5.3. Lengkap ( Completeness ) - Tidak berlaku keadaan yang bertaburan di merata tempat. Maklumat yang lengkap dapat menjimatkan masa pengurusan maklumat. Maklumat yang lengkap dan tersusun dapat membantu dan menjimatkan masa untuk pengguna mambuat keputusan atau menyelesaikan masalah.

2.5.4. Ringkas ( Conciseness ) - Maklumat hendaklah ringkas, penting untuk menjimatkan masa. Pengguna tidak dapat membuat keputusan yang tepat dan bertepatan waktu tanpa maklumat yang cukup. Walau bagaimanapun, maklumat yang dibekalkan hendaklah tepat dan ringkas. Kuantiti maklumat yang terlampau banyak hanya akan membebankan pengguna.

2.5.5. Berkaitan ( Relevancy ) - Maklumat itu hendaklah berasakan need-to-know. Maklumat yang diterima oleh pengguna mesti mempunyai kaitannya dengan tanggung jawab dan tujuan pengguna. Maklumat yang tidak releven hanya akan menyebabkan kelewatan memperoses maklumat, oleh itu penilaian dan keputusan juga akan lambat tercapai.

2.6. Refleksi
Kemahiran menilai maklumat sangat penting kerana ia merupakan proses menentukan sama ada sesuatu maklumat yang diperolehi berguna atau tidak. Di bawah adalah satu contoh mengenai langkah-langkah yang dicadangkan bagi menilai fakta atau pendapat dalam sesuatu bacaan atau rujukan. Di antaranya ialah : lihat ayat-ayat yang menerangkan tentang sesuatu perkara tanpa memberi pendapat. perhatikan perkataan atau ayat-ayat yang memberi bayangan pendapat. sekiranya penulis memberi asas rujukan untuk menjelaskan penemuan mereka, pastikan punca-punca sumbernya boleh dipercayai. pastikan fakta-fakta yang diberikan mempunyai bukti kesahihannya.

Kemahiran manilai maklumat bukan sahaja digunakan untuk menilai teks pada masa kini. Dengan ledakan maklumat yang berlaku sekarang, maka kemahiran menilai maklumat ini amat penting diamalkan dari semua aspek atau sumber maklumat. Oleh itu dalam menilai maklumat yang diperolehi benar-benar dapat menolong kita membuat keputusan ataupun menyelesaikan masalah.

Bibliografi

Ab. Rahim Selamat (1989). Teknologi Sistem Pengajaran. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.

Abd. Rahman Hussain. " Kemahiran Maklumat Menerusi Penggunaan Pusat Sumber Yang berkesan ". Jurnal Wawasan Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman. Jilid 7 Bilangan 2 , Jun 1993.

Ann Irving (1988). Study And Information Skills Across The Curriculum. Oxford England : Heinemann Educational Books.

Grace Murray Hopper (1987). Understanding Computers. St. Paul. United State of America : West Publishing Company.

Jane P. Laudon, Kenneth C. Laudon (1995). Essentials Of Management Information Systems. United State of America : Prentice-Hall Inc.

Poh Swee Hiang, Mokhtar Affandi Amran, Tajuddin Hassan (1995). Pengurusan Sumber Pengajaran Pembelajaran 1 : Sumber Perpustakaan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Raymond McLeod. JR. (19995). Management Information Systems ( Sixth Edision ). Texas : Prentic Hall International Inc.

Rita Vias. " Kemahiran Maklumat ". Jurnal Wawasan Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman. Jilid 5 Bilangan 2 , Ogos 1990.

Artikel ini diletakkan berdasarkan rujukan daripada beberapa buku serta laman web serta blog. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan