Ahad, 17 Jun 2012

KEMAHIRAN MENGANALISIS MAKLUMAT

Penulis: Najibah 2008
KEMAHIRAN MENGANALISIS MAKLUMAT

KEMAHIRAN MENGANALISIS MAKLUMAT

DEFINISI
Pemikiran kritis melibatkan penggunaan operasi
Kemahiran berfikir asas untuk menganalisis sesuatu hujah supaya hujah itu dapat ditafsir dan difahami dengan jelas.
Analisis hujah perlu dibuat dengan terperinci, objektif, dan gigih

Tujuan
Menganalisis maklumat bertujuan untuk meningkatkan pemahaman
Menjelaskan idea tentang maklumat yang ditemui

KEMAHIRAN MENGANALISIS SECARA KRITIS

Menganalisis Idea
Menganalisis Hujah

(A) Menganalisis Idea
Menganalisis sesuatu perkara atau idea dengan cara:
Mengelas
Membanding dan membeza
Meneliti perhubungan bahagian keseluruhan
Membuat urutan

(B) Menganalisis Hujah
Mengenal pasti unsur-unsur yang digunakan dalam pemikiran apabila seseorang mengkomunikasikan idea.
Mencari sebab dan kesimpulan
Mengusul periksa andaian
Membuat urutan
Mengatur perkara-perkara mengikut satu susunan berdasarkan criteria yang bermakna.
Perkara yang dikaji pula boleh merupakan sesuatu objek, organism, idea, atau institusi.

Jenis-jenis urutan

Urutan abjad - cth : Senarai nama
Urutan masa - cth : Kesultanan Melaka
Analisis operasi - cth : Prosedur membuat kerja kursus berportfolio
Rangkaian sebab - cth : Kepupusan Dinosaur
Kitar - cth : Kitar Oksigen
Pangkatan - cth : Rancangan kerja mengikut keutamaan

Kesimpulan

Analisis dan penjelasan idea dapat menyebabkan pemahaman yang lebih mendalam
Walaupun pemahaman secara tersendiri bukan merupakan pemikiran yang baik, tetapi pemahaman amat diperlukan untuk membantu pemahaman yang mahir.

Artikel ini diletakkan berdasarkan rujukan daripada beberapa buku, laman web serta blog. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.

PERLEMBAGAAN MALAYSIA - BAHAGIAN 2

Penulis: Anonymous
PERLEMBAGAAN MALAYSIA - BAHAGIAN 2

BAB 1 KEWARGANEGARAAN

Perkara 14. Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.
(1) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
(a) tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan
(b) tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua.
(c) (Dimansuhkan).
(2) (Dimansuhkan).
(3) (Dimansuhkan).

Perkara 15. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara).
(1) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana perempuan bersuami yang suaminya seorang warganegara, maka perempuan itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika perkahwinan itu masih wujud dan suaminya itu seorang warganegara pada permulaan bulan Oktober 1962, atau jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan sepanjang tempoh dua tahun sebelum tarikh permohonan itu dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap; dan
(b) bahawa dia berkelakuan baik.
(2) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka Kerajaan Persekutuan boleh menyebabkan orang itu didaftarkan sebagai warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapanya sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara.
(3) Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh ibu atau bapa atau penjaga seseorang yang di bawah umur dua puluh satu tahun, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia dilahirkan sebelum permulaan bulan Oktober 1962 dan bapanya sekarang (atau pada masa kematiannya) seorang warganegara dan juga seorang warganegara pada permulaan bulan itu (jika hidup pada masa itu), dan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di Persekutuan dan berkelakuan baik.
(4) Bagi maksud Fasal (1), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.
(5) Sebutan dalam Fasal (1) mengenai perempuan bersuami ialah sebutan mengenai perempuan yang perkahwinannya telah didaftarkan mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Persekutuan, termasuklah mana-mana undang-undang sedemikian yang berkuat kuasa sebelum Hari Merdeka, atau mengikut mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak: Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai jika perempuan itu memohon supaya didaftarkan sebagai warganegara sebelum permulaan bulan September 1965, atau apa-apa tarikh kemudiannya sebagaimana yang ditetapkan melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, dan jika pada tarikh permohonan itu dia biasanya bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak.
(6) (Dimansuhkan).

Perkara 15A. Kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak.
Tertakluk kepada Perkara 18, Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur dua puluh satu tahun didaftarkan sebagai warganegara.

Perkara 16. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka).
Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa tujuh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada lima tahun;
(b) bahawa dia berniat hendak berbuat demikian secara tetap;
(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu.

Perkara 16A. Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Negeri Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia).
Tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan sebelum bulan September 1971 oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang biasanya bermastautin di Negeri Sabah atau Sarawak pada Hari Malaysia, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan—
(a) bahawa dia telah bermastautin sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu dan bermastautin selepas Hari Malaysia di Persekutuan selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada tujuh tahun dalam masa sepuluh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu;
(b) bahawa dia berniat hendak bermastautin secara tetap di Persekutuan;
(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris atau, dalam hal pemohon yang biasanya bermastautin di Sarawak, mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa ibunda yang digunakan pada masa ini di Sarawak, kecuali jika permohonan itu dibuat sebelum bulan September 1965 dan pemohon telah mencapai umur empat puluh lima tahun pada tarikh permohonan itu.

Perkara 17. (Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang bermastautin di Persekutuan pada hari Merdeka)-Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).

Perkara 18. Peruntukan am tentang pendaftaran.
(1) Tiada seorang pun yang berumur lapan belas tahun atau lebih boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.
(2) Kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan, tiada seorang pun yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perlembagaan ini atau yang telah melepaskan atau yang telah dilucutkan kewarganegaraan persekutuan atau kewarganegaraan bagi Persekutuan sebelum Hari Merdeka di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 boleh didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini.
(3) Seseorang yang didaftarkan sebagai warganegara di bawah Perlembagaan ini menjadi warganegara melalui pendaftaran mulai dari hari dia didaftarkan sedemikian.
(4) (Dimansuhkan).

Perkara 19. Kewarganegaraan melalui penaturalisasian.
(1) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati—
(a) bahawa—
(i) dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;
(ii) (Dimansuhkan);
(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.

(2) Tertakluk kepada Fasal (9), apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, memberi orang itu suatu perakuan naturalisasi jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati—
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberi perakuan itu;
(b) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(c) bahawa dia mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.
(3) Tempoh kemastautinan di Persekutuan atau bahagiannya yang berkaitan yang dikehendaki bagi pemberian suatu perakuan naturalisasi ialah tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada sepuluh tahun dalam masa dua belas tahun sebaik sebelum tarikh permohonan bagi perakuan itu, dan tempoh itu termasuklah tempoh dua belas bulan sebaik sebelum tarikh itu.
(4) Bagi maksud Fasal (1) dan (2), kemastautinan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan; dan bagi maksud Fasal (2), kemastautinan di Singapura sebelum Hari Malaysia atau dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan kemastautinan di Singapura selepas Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai kemastautinan di Persekutuan.
(5) Seseorang yang diberi perakuan naturalisasi menjadi warganegara melalui penaturalisasian mulai dari tarikh perakuan itu diberikan.
(6) (Dimansuhkan).
(7) (Dimansuhkan).
(8) (Dimansuhkan).
(9) Tiada perakuan naturalisasi boleh diberikan kepada mana-mana orang sehinggalah dia telah mengangkat sumpah yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

Perkara 19A. (Pemindahan kewarganegaraan ke Singapura atau dari Singapura Dimansuhkan)
(Dimansuhkan).

Perkara 20. (Naturalisasi bagi anggota-anggota angkatan Persekutuan - Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).

Perkara 21. (Peruntukan am tentang naturalisasi - Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).

Perkara 22. Kewarganegaraan melalui penggabungan wilayah.
Jika mana-mana wilayah baru diterima masuk ke dalam Persekutuan selepas Hari Malaysia menurut Perkara 2, maka Parlimen boleh melalui undang-undang menentukan siapakah orang yang akan menjadi warganegara oleh sebab hubungan mereka dengan wilayah itu dan tarikh atau tarikh-tarikh mereka itu akan menjadi warganegara.

BAB 2 PENAMATAN KEWARGANEGARAAN

Perkara 23. Pelepasan kewarganegaraan.
(1) Mana-mana warganegara yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih dan yang sempurna akal yang juga ialah seorang warganegara negara lain atau yang hampir menjadi seorang warganegara negara lain boleh melepaskan kewarganegaraannya bagi Persekutuan melalui akuan yang didaftarkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan hendaklah sesudah itu terhenti menjadi warganegara.
(2) Akuan yang dibuat di bawah Perkara ini dalam masa apa-apa peperangan yang dalamnya Persekutuan terlibat tidaklah boleh didaftarkan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan.
(3) Perkara ini terpakai bagi seseorang perempuan yang di bawah umur dua puluh satu tahun yang telah berkahwin sebagaimana Perkara ini terpakai bagi seseorang yang berumur dua puluh satu tahun atau lebih.

Perkara 24. Pelucutan kewarganegaraan kerana memperoleh atau menggunakan kewarganegaraan asing, dsb.
(1) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.
(2) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu, iaitu hak-hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara negara itu maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu.
(3) (Dimansuhkan). (3A) Tanpa menjejaskan keluasan Fasal (2), penggunaan hak undi dalam mana-mana pemilihan politik di sesuatu tempat di luar Persekutuan hendaklah disifatkan sebagai penuntutan dan penggunaan yang sukarela suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu; dan bagi maksud Fasal (2), seseorang yang, selepas tarikh yang ditetapkan[1] oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah bagi maksud Fasal ini—
(a) memohon kepada pihak berkuasa sesuatu tempat di luar Persekutuan supaya pasport dikeluarkan atau dibaharui; atau
(b) menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sebagai dokumen perjalanan,
hendaklah disifatkan dengan sukarela menuntut dan menggunakan suatu hak yang terdapat di bawah undang-undang tempat itu, iaitu suatu hak yang diberikan secara khusus kepada warganegara tempat itu.
(4) Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan oleh sebab perkahwinannya dengan seseorang yang bukan warganegara, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan perempuan itu.

Perkara 25. Pelucutan kewarganegaraan melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau melalui penaturalisasian.
(1) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati—
(a) bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan;
(b) bahawa orang itu, dalam masa apa-apa peperangan yang dalamnya Persekutuan sedang atau telah terlibat, telah dengan menyalahi undang-undang berdagang dengan atau menghubungi musuh atau melibatkan diri atau menjadi sekutu dalam apa-apa perniagaan yang pada pengetahuannya telah dijalankan mengikut apa-apa cara sehingga dapat membantu musuh dalam peperangan itu; atau
(c) bahawa orang itu, dalam tempoh lima tahun mulai dari tarikh pendaftaran atau dari tarikh perakuan diberikan, telah dihukum dengan pemenjaraan di mana-mana negara selama tempoh tidak kurang daripada dua belas bulan atau denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit atau yang senilai dengannya dalam mata wang negara itu, dan telah tidak mendapat pengampunan bebas berkenaan dengan kesalahan yang kerananya dia telah dihukum sedemikian.
(1A) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu, tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan, telah menerima, berkhidmat dalam, atau melaksanakan tugas apa-apa jawatan, perjawatan atau pekerjaan di bawah Kerajaan mana-mana negara di luar Persekutuan atau mana-mana subbahagian politiknya, atau di bawah mana-mana agensi Kerajaan itu, dalam apa-apa hal jika suatu sumpah, ikrar atau akuan setia dikehendaki berkenaan dengan jawatan, perjawatan atau pekerjaan itu:
Dengan syarat bahawa seseorang tidaklah boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal ini oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya sebelum permulaan bulan Oktober 1962, berhubung dengan suatu negara asing, dan sebelum permulaan bulan Januari 1977, berhubung dengan suatu negara Komanwel, walaupun pada masa itu dia telah menjadi seorang warganegara.
(2) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana orang yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu biasanya bermastautin di negara-negara di luar Persekutuan bagi tempoh terus-menerus selama lima tahun dan dalam tempoh itu orang itu—
(a) tidak pernah pada bila-bila masa berada dalam perkhidmatan Persekutuan atau dalam perkhidmatan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Kerajaan Persekutuan; dan juga
(b) tidak mendaftarkan tiap-tiap tahun di konsulat Persekutuan niatnya hendak mengekalkan kewarganegaraannya: Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi apa-apa tempoh kemastautinan di mana-mana negara Komanwel sebelum permulaan bulan Januari 1977.
(3) (Dimansuhkan).

Perkara 26. Peruntukan lain bagi melucutkan kewarganegaraan melalui pendaftaran atau penaturalisasian.
(1) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana warganegara yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau melalui penaturalisasian jika berpuas hati bahawa pendaftaran atau perakuan naturalisasi itu—
(a) telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material; atau
(b) telah dibuat atau diberikan dengan silap.
(2) Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana perempuan yang menjadi warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15 jika berpuas hati bahawa perkahwinan yang disebabkan olehnya perempuan itu didaftarkan telah dibubarkan, melainkan disebabkan oleh kematian, dalam tempoh dua tahun mulai dari tarikh perkahwinan itu.
(3) (Dimansuhkan).
(4) (Dimansuhkan).

Perkara 26A. Pelucutan kewarganegaraan anak orang yang hilang kewarganegaraannya.
Jika seseorang telah melepaskan kewarganegaraannya atau telah dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal (1) Perkara 24 atau perenggan (a) Fasal (1) Perkara 26, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan mana-mana anak orang itu yang di bawah umur dua puluh satu tahun yang telah didaftarkan sebagai warganegara menurut Perlembagaan ini dan telah didaftarkan sedemikian sebagai anak orang itu atau anak isteri atau anak suami orang itu.

Perkara 26B. Peruntukan am tentang kehilangan kewarganegaraan.
(1) Pelepasan atau pelucutan kewarganegaraan tidaklah melepaskan seseorang daripada liabiliti berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau tidak dilakukan sebelum dia terhenti menjadi warganegara.
(2) Tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25, 26 atau 26A melainkan jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa tidak berfaedah bagi kebaikan awam untuk dia terus menjadi warganegara; dan tiada seorang pun boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25, perenggan (b) Fasal (1) Perkara 26, atau Perkara 26A jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa akibat daripada pelucutan itu dia tidak akan menjadi warganegara mana-mana negara.

Perkara 27. Tatacara bagi pelucutan.
(1) Sebelum membuat sesuatu perintah di bawah Perkara 24, 25 atau 26, Kerajaan Persekutuan hendaklah memberikan notis secara bertulis kepada orang yang terhadapnya perintah itu dicadangkan hendak dibuat memberitahu orang itu tentang alasan perintah itu dicadangkan hendak dibuat dan tentang haknya untuk merujukkan kes itu kepada suatu jawatankuasa siasatan di bawah Perkara ini.
(2) Jika mana-mana orang yang kepadanya notis itu diberikan memohon supaya kes itu dirujukkan seperti yang disebut terdahulu, maka Kerajaan Persekutuan hendaklah, dan dalam apa-apa kes lain Kerajaan Persekutuan boleh, merujukkan kes itu kepada suatu jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada seorang pengerusi (iaitu seorang yang mempunyai pengalaman kehakiman) dan dua orang anggota lain yang dilantik oleh Kerajaan itu bagi maksud itu.
(3) Dalam hal mana-mana rujukan sedemikian, jawatankuasa itu hendaklah mengadakan suatu siasatan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan mengemukakan laporannya kepada Kerajaan itu; dan Kerajaan Persekutuan hendaklah mengambil kira laporan itu dalam memutuskan sama ada hendak membuat perintah itu atau tidak.

Perkara 28. Pemakaian Bab 2 bagi warganegara tertentu melalui kuat kuasa undang-undang.
(1) Bagi maksud peruntukan yang terdahulu dalam Bab ini—
(a) mana-mana orang yang sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan melalui pendaftaran sebagai warganegara atau berikutan dengan pendaftarannya sebagai rakyat seseorang Raja, atau melalui pemberian perakuan kewarganegaraan, di bawah mana-mana peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang Negeri hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran dan, jika dia tidak dilahirkan di dalam Persekutuan, sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 17;
(b) seseorang perempuan yang sebelum Hari Merdeka menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan melalui pendaftaran sebagai warganegara, atau berikutan dengan pendaftarannya sebagai rakyat seseorang Raja, di bawah mana-mana peruntukan Perjanjian tersebut atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang Negeri yang membenarkan pendaftaran perempuan yang berkahwin dengan warganegara bagi Persekutuan atau dengan rakyat Raja hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15;
(c) mana-mana orang yang sebelum Hari Merdeka telah dinaturalisasikan sebagai warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan di bawah Perjanjian tersebut atau yang menjadi warganegara persekutuan atau warganegara bagi Persekutuan berikutan dengan penaturalisasiannya sebagai rakyat seseorang Raja di bawah mana-mana undang-undang Negeri hendaklah (tertakluk kepada Fasal (2)) dikira sebagai warganegara melalui penaturalisasian,
dan sebutan dalam peruntukan itu mengenai pendaftaran atau penaturalisasian seseorang warganegara hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.
(2) Tiada seorang pun yang dilahirkan di dalam Persekutuan boleh menurut kuasa Perkara ini dilucutkan kewarganegaraan di bawah Perkara 25.
(3) Seseorang yang pada Hari Merdeka menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang oleh sebab telah menjadi warganegara bagi Persekutuan sebaik sebelum hari itu tidak boleh dilucutkan kewarganegaraan di bawah Fasal (1) atau (2) Perkara 24 oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan pada atau sebelum hari itu; tetapi dalam hal mana-mana orang sedemikian Fasal (2) Perkara 25 hendaklah terpakai juga berhubung dengan tempoh kemastautinan di negara-negara asing yang bermula sebelum Hari Merdeka dan berhubung dengan sesuatu tempoh sedemikian yang bermula pada atau selepas hari itu.

Perkara 28A. Pelucutan kewarganegaraan orang yang menjadi warganegara pada Hari Malaysia.
(1) (Dimansuhkan).
(2) Bagi maksud Perkara 24, 25, 26 dan 26A seseorang yang pada Hari Malaysia menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang kerana sebaik sebelum hari itu dia mempunyai taraf warganegara United Kingdom dan Tanah-Tanah Jajahan hendaklah dikira—
(a) sebagai warganegara melalui pendaftaran jika dia memperoleh taraf itu melalui pendaftaran; dan
(b) sebagai warganegara melalui penaturalisasian jika dia memperoleh taraf itu melalui atau berikutan dengan penaturalisasian,
dan sebutan dalam Perkara itu mengenai pendaftaran atau penaturalisasian seseorang warganegara hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.
(3) Jika di bawah Perkara ini seseorang perempuan hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran, dan taraf yang berikutan dengannya dia hendaklah dikira sedemikian telah diperolehnya oleh sebab perkahwinan, maka bagi maksud Fasal (4) Perkara 24 dan Fasal (2) Perkara 26 dia hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran di bawah Fasal (1) Perkara 15.
(4) Jika di bawah Perkara ini seseorang yang dilahirkan sebelum Hari Malaysia hendaklah dikira sebagai warganegara melalui pendaftaran oleh sebab hubungan dengan Negeri Sabah atau Sarawak dan dia tidak dilahirkan di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak, maka Perkara 25 hendaklah terpakai baginya seolah-olah dia ialah seorang warganegara melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17.
(5) Walaupun di bawah Perkara ini seseorang hendaklah dikira sebagai warganegara melalui penaturalisasian, dia tidaklah boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Perkara 25 jika dia dilahirkan sebelum Hari Malaysia di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah dan Sarawak, dan dia hendaklah dikira sedemikian oleh sebab taraf yang diperoleh melalui atau berikutan dengan penaturalisasian di wilayah-wilayah itu.
(6) Tanpa menjejaskan Fasal-Fasal yang terdahulu, jika pada Hari Malaysia seseorang menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang oleh sebab apa-apa taraf yang dimilikinya sebaik sebelum hari itu, tetapi taraf itu boleh dilucutkan daripadanya di bawah undang-undang yang berhubungan dengan pelucutan itu berkenaan dengan perkara-perkara yang dilakukan sebelum hari itu, maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraannya, jika prosiding bagi maksud itu dimulakan sebelum bulan September 1965; tetapi Fasal (2) Perkara 26B dan, tertakluk kepada Fasal (7), Perkara 27 hendaklah terpakai bagi perintah di bawah Fasal ini sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi perintah di bawah Perkara 25.
(7) Jika seseorang boleh dilucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal (6) dan prosiding telah dimulakan sebelum Hari Malaysia untuk melucutkan taraf yang disebabkan olehnya dia memperoleh kewarganegaraannya, maka prosiding itu hendaklah dikira sebagai prosiding untuk melucutkan kewarganegaraannya di bawah Fasal itu, dan hendaklah diteruskan sebagai yang demikian; tetapi prosiding itu hendaklah diteruskan mengikut undang-undang yang berhubungan dengan taraf itu sebaik sebelum Hari Malaysia, dan fungsi Kerajaan Persekutuan berhubung dengannya hendaklah diwakilkan kepada mana-mana pihak berkuasa Negeri yang berkenaan sebagaimana yang ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.

BAB 3 TAMBAHAN

Perkara 29. Kewarganegaraan Komanwel.
(1) Mengikut kedudukan Persekutuan di dalam Komanwel, tiap-tiap orang yang menjadi warganegara Persekutuan menikmati, oleh sebab kewarganegaraannya itu, taraf warganegara Komanwel bersama-sama dengan warganegara negara-negara Komanwel yang lain.
(2) Kecuali setakat yang diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, mana-mana undang-undang yang sedia ada hendaklah terpakai berhubung dengan warganegara Republik Ireland yang bukan juga warganegara Komanwel sebagaimana undang-undang itu terpakai berhubung dengan warganegara Komanwel.

Perkara 30. Perakuan kewarganegaraan.
(1) Apabila permohonan dibuat oleh mana-mana orang yang berkenaan dengan kewarganegaraannya terdapat keraguan, sama ada mengenai fakta atau mengenai undang-undang, Kerajaan Persekutuan boleh memperakui bahawa orang itu ialah seorang warganegara.
(2) Sesuatu perakuan yang dikeluarkan di bawah Fasal (1), melainkan jika dibuktikan bahawa perakuan itu telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian apa-apa fakta material, hendaklah menjadi keterangan konklusif bahawa orang yang dimaksudkan olehnya ialah seorang warganegara pada tarikh perakuan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa keterangan bahawa dia ialah seorang warganegara pada tarikh yang lebih awal.
(3) Bagi maksud menentukan sama ada seseorang dilahirkan sebagai warganegara Persekutuan, apa-apa soal sama ada dia dilahirkan sebagai warganegara suatu negara lain hendaklah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan dan perakuan Kerajaan Persekutuan mengenai soal itu adalah konklusif (melainkan jika dibuktikan bahawa perakuan itu telah didapati dengan cara fraud, nyataan palsu atau penyembunyian sesuatu fakta material).
(4) (Dimansuhkan).

Perkara 30A. (Hak mengundi, dsb., bagi warganegara Singapura dan warganegara lain Dimansuhkan)
(Dimansuhkan).

Perkara 30B. (Perhubungan tentang kewarganegaraan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Singapura - Dimansuhkan)
(Dimansuhkan).

Perkara 31. Pemakaian Jadual Kedua.
Sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, peruntukan tambahan yang terkandung dalam Bahagian III Jadual Kedua hendaklah berkuat kuasa bagi maksud Bahagian ini.

Artikel ini diletakkan berdasarkan rujukan daripada beberapa buku serta laman web serta blog. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.

PERLEMBAGAAN MALAYSIA - BAHAGIAN 1

Penulis: Anonymous
PERLEMBAGAAN MALAYSIA - BAHAGIAN 1


PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA/NEGERI-NEGERI, AGAMA DAN UNDANG-UNDANG BAGI PERSEKUTUAN

Perkara 1. Nama, Negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan.
(1) Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.
(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
(3) Tertakluk kepada Fasal (4), wilayah-wilayah bagi setiap Negeri yang disebut dalam Fasal (2) ialah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri-Negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.
(4) Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585], dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan.

Perkara 2. Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan.
Parlimen boleh melalui undang-undang—
(a) menerima masuk Negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan;
(b) mengubah sempadan mana-mana Negeri,
tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.
(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
(2) Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
(3) Perlembagaan-Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua agama Islam di Negeri itu.
(4) Tiada apa-apa jua dalam ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.
(5) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

Perkara 4. Undang-undang utama Persekutuan.
(1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
(2) Kesahan mana-mana undang-undang tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa—
(a) undang-undang itu mengenakan sekatan-sekatan ke atas hak yang disebut dalam Perkara 9(2) tetapi tidak berhubungan dengan perkara-perkara yang disebut dalam Perkara itu; atau
(b) undang-undang itu mengenakan mana-mana sekatan yang disebut dalam Perkara 10(2) tetapi sekatan-sekatan itu tidak disifatkan perlu atau suai manfaat oleh Parlimen bagi maksud-maksud yang disebut dalam Perkara itu.
(3) Kesahan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan perundangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengannya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kecuali dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau—
(a) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen, dalam prosiding antara Persekutuan dengan satu atau beberapa Negeri;
(b) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, dalam prosiding antara Persekutuan dengan Negeri itu.
(4) Prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah atas alasan yang disebut dalam Fasal (3) (iaitu prosiding yang tidak termasuk dalam perenggan (a) atau (b) Fasal itu) tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan; dan Persekutuan berhak menjadi satu pihak dalam mana-mana prosiding itu, dan begitulah juga dengan mana-mana Negeri yang akan atau mungkin menjadi satu pihak dalam prosiding yang dibawa bagi maksud yang sama di bawah perenggan (a) atau (b) Fasal itu.

Perkara 5. Kebebasan diri
(1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.
(2) Jika pengaduan dibuat kepada Mahkamah Tinggi atau mana-mana hakim Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa seseorang sedang ditahan dengan menyalahi undang-undang, maka mahkamah itu hendaklah menyiasat pengaduan itu dan, melainkan jika mahkamah itu berpuas hati bahawa tahanan itu adalah sah, hendaklah memerintahkan supaya orang itu dibawa ke hadapan mahkamah itu dan melepaskannya.
(3) Jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.
(4) Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu) dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu:
Dengan syarat bahawa Fasal ini tidaklah terpakai bagi penangkapan atau penahanan mana-mana orang di bawah undang-undang yang sedia ada yang berhubungan dengan kediaman terhad, dan kesemua peruntukan Fasal ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perkara ini mulai dari hari Merdeka:
Dengan syarat selanjutnya bahawa dalam pemakaiannya bagi seseorang, selain seorang warganegara, yang ditangkap atau ditahan di bawah undang-undang yang berhubungan dengan imigresen, Fasal ini hendaklah dibaca seolah-olah perkataan "tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa apa-apa perjalanan yang perlu)" telah digantikan dengan perkataan "dalam tempoh empat belas hari": Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh mahkamah Syariah, sebutan dalam Fasal ini mengenai majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan mengenai hakim mahkamah Syariah.

Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang.
(1) Tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi.
(2) Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang, tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan mengenai perkhidmatan wajib bagi maksud-maksud negara.
(3) Kerja atau khidmat yang dikehendaki daripada mana-mana orang sebagai akibat daripada sesuatu sabitan atau dapatan bahawa dia bersalah di mahkamah tidaklah dikira sebagai kerja paksa mengikut pengertian Perkara ini, dengan syarat kerja atau khidmat itu dijalankan di bawah pengawasan dan kawalan suatu pihak berkuasa awam.
(4) Jika menurut mana-mana undang-undang bertulis kesemua atau mana-mana bahagian daripada fungsi mana-mana pihak berkuasa awam dikehendaki dijalankan oleh suatu pihak berkuasa awam yang lain, bagi maksud membolehkan fungsi-fungsi itu dilaksanakan, maka pekerja-pekerja pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut adalah terikat untuk berkhidmat dengan pihak berkuasa awam yang kedua disebut, dan perkhidmatan mereka dengan pihak berkuasa awam yang kedua disebut itu tidaklah dikira sebagai kerja
paksa mengikut pengertian Perkara ini, dan tiada seorang pun pekerja itu berhak menuntut apa-apa hak sama ada daripada pihak berkuasa awam yang mula-mula disebut atau kedua disebut itu oleh sebab pertukaran pekerjaannya.

Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang.
(1) Tiada seorang pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut undang-undang pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat, dan tiada seorang pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat kerana sesuatu kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan.
(2) Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.

Perkara 8. Kesamarataan.
(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
(3) Tidak boleh ada diskriminasi yang memihak kepada mana-mana orang atas alasan bahawa dia seorang rakyat Raja bagi mana-mana Negeri.
(4) Tiada pihak berkuasa awam boleh mendiskriminasikan mana-mana orang atas alasan bahawa dia bermastautin atau menjalankan perniagaan di mana-mana bahagian Persekutuan di luar bidang kuasa pihak berkuasa itu.
(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang—
(a) apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri;
(b) apa-apa peruntukan atau amalan yang mengehadkan jawatan atau pekerjaan yang berkaitan
dengan hal ehwal mana-mana agama, atau sesuatu institusi yang diuruskan oleh sekumpulan orang yang menganuti mana-mana agama, kepada orang yang menganuti agama itu;
(c) apa-apa peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung
Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi orang asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam;
(d) apa-apa peruntukan yang menetapkan kemastautinan di sesuatu Negeri atau di sebahagian
sesuatu Negeri sebagai suatu kelayakan bagi pemilihan atau pelantikan kepada mana-mana pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa hanya di Negeri atau di bahagian itu sahaja, atau bagi pengundian dalam pemilihan itu;
(e) apa-apa peruntukan Perlembagaan sesuatu Negeri, yang adalah atau yang bersamaan dengan suatu peruntukan yang berkuat kuasa sebaik sebelum Hari Merdeka;
(f) apa-apa peruntukan yang mengehadkan pengambilan masuk tentera ke dalam Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.

Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak.
(1) Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri dari atau ditahan masuk ke Persekutuan.
(2) Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.
(3) Selagi mana-mana Negeri lain berada dalam kedudukan istimewa di bawah Perlembagan ini berbanding dengan Negeri-Negeri Tanah Melayu, Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan-sekatan, antara Negeri itu dengan Negeri-Negeri yang lain, ke atas hak-hak yang diberikan oleh Fasal (2) berkenaan dengan pergerakan dan kemastautinan.

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—
(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;
(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;
(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.
(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—
(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;
(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;
(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.
(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.
(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.
(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak—
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.
(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.
(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir—
(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak
berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau
(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi
penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).
(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusiinstitusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.
(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.
(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Perkara 13. Hak terhadap harta.
(1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
(2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

Artikel ini diletakkan berdasarkan rujukan daripada beberapa buku serta laman web serta blog. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.

PERLEMBAGAAN MALAYSIA - PENGENALAN 2

Penulis: Anonymous
PERLEMBAGAAN MALAYSIA - PENGENALAN 2

Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan Malaysia juga dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Malaysia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957. Perlembagaan Malaysia telah digubal berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Digubal oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid, Sir Ivor Jenning (British), Sir William Mckell (Australia), B. Malik (India) dan Hakim A. Hamid (Pakistan).Digubal berdasarkan 131 memorandum yang diserahkan oleh parti politik dan pertubuhan Tanah Melayu.Dikanunkan tetapi boleh dipinda. Perlembagaan berkenaan berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Ia merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang. Semua undang-undang lain hendaklah tidak bertentangan dengan perlembagaan :

“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat berlawanan dengan itu”. Perkara 4(1)


Konsep ketinggian Perlembagaan adalah seperti berikut:-

•Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi;
•Menjadi punca kepada semua undang-undang;
•Tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan;
•Semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan;
•Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh Parlimen jika bertentangan dengan Perlembagaan; dan
•Walaupun Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara, tetapi Baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan.

Perlembagaan dibentuk dengan tujuan berikut iaitu:-

• Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil;
• Mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah;
• Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat;
• Alat untuk menyelesaikan masalah;
• Menjamin riwayat negara bangsa; dan
• Menjamin keamanan dan kestabilan negara.

Kandungan Perlembagaan Persekutuan

•Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 Perkara beserta dengan 13 Jadual. Bagi setiap perkara terdapat beberapa Fasal yang dijelaskan dengan terperinci sebagai garis panduan perundangan dan kepentingan rakyat.

•Perlembagaan Persekutuan juga mengandungi beberapa perkara yang tidak boleh dipersoalkan seperti:

0 agama Islam sebagai agama rasmi;
0 kedududkan istemewa Raja-raja Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak;
0 kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan,
0 soal kerakyatan.

Susunan Perkara-Perkara Dalam Perlembagaan:

Perkara 1 hingga 4
Negeri-negeri, Agama dan Undang-undang bagi
Persekutuan

Perkara 5 hingga 13
Kebebasan Asasi

Perkara 14 hingga 22
Kewarganegaraan (Bab 1 – Perolehan Kewarganegaraan)

Perkara 23 hingga 28A
Kewarganegaraan (Bab 2 – Penamatan Kewarganegraan)

Perkara 29 hingga 31
Kewarganegaraan (Bab 3 – Tambahan)

Perkara 32 hingga 37
Persekutuan (Bab 1 – Ketua utama negara)

Perkara 38
Persekutuan (Bab 2 – Majlis Raja-Raja)

Perkara 39 hingga 43C
Persekutuan (Bab 3 – Pemerintah)

Perkara 44 hingga 65
Persekutuan (Bab 4 – Badan-badan Perundangan Persekutuan)

Perkara 66 hingga 68
Persekutuan (Bab 5 – Acara perundangan)

Perkara 69
Persekutuan Bab 6 – Keupayaan terhadap harta, kontrak dan guaman )

Perkara 70 hingga 72
Negeri-negeri

Perkara 73 hingga 79
Perhubungan Antara persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 1 – Bahagian kuasa-kuasa perundangan)

Perkara 80 hingga 81
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 2 – Pembahagian antara kuasa-kusa pemerintah)

Perkara 82
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri
(Bab 3 – Pembahagian beban kewangan)

Perkara 83 hingga 91
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 4 – Tanah)

Perkara 92
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 5 – Pembangunan negara)

Perkara 93 hingga 95
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 6 – Tinjauan, nasihat Persekutuan kepada Negeri dan pemeriksaan mengenai
kegiatan Negeri)

Perkara 95A hingga 95E
Perhubungan antara Persekutuan dengan Negeri-negeri
(Bab 7 – Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan)

Perkara 96 hingga 112
Peruntukan-peruntukan Kewangan (Bab 1 – Am)

Perkara 112A – 112D
Peruntukan-peruntukan Kewangan (Bab 2 – Pemakaian bagi negeri-negeri Sabah dan
Sarawak)

Perkara 113 hingga 120
Pilihanraya

Perkara 121 hingga 131A
Perhakiman

Perkara 132 hingga 148
Perkhidmatan Awam

Perkara 149 hingga 151
Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif dan Kuasa-kuasa Darurat

Perkara 152 hingga 160B
Am dan Pelbagai

Perkara 161 hingga 161H
Perlindungan Tambahan bagi Sabah dan Sarawak

Perkara 162 hingga 180
Peruntukan Sementara dan Peralihan

Perkara 181
Pengecualian bagi Kedaulatan Raja-raja

Perkara 182 hingga 183
Prosiding Terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja

Secara ringkasnya Perlembagaan ini dibahagikan kepada 15 bahagian, setiap bahagian mengandungi satu atau lebih artikel yang relevan.

• Bahagian 1 - Negeri-negeri, agama dan undang-undang persekutuan
• Bahagian 2 - Kebebasan asasi
• Bahagian 3 - Kewarganegaraan
• Bahagian 4 - Persekutuan
• Bahagian 5 - Negeri-negeri
• Bahagian 6 - Perhubungan antara persekutuan dan negeri-negeri
• Bahagian 7 - Peruntukan-peruntukan kewangan
• Bahagian 8 - Pilihanraya
• Bahagian 9 - Kehakiman
• Bahagian 10 - Perkhidmatan awam
• Bahagian 11 - Kuasa-kuasa khas menentang kuasa subversif dan darurat
• Bahagian 12 - Am dan pelbagai
• Bahagian 13 - Peruntukan sementara
• Bahagian 14 - Perkecualian bagi kedaulatan raja-raja dan sebagainya
• Bahagian 15 - Prosiding terhadap Yang di-Pertuan Agung dan raja-raja

Pindaan Perlembagaan

• Sungguhpun Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi namun ia tetap boleh dilentur (flexible). Ini bermakna ia boleh dibuat pindaan demi kepentingan rakyat dan negara. Sungguh pun begitu pindaan perlembagaan Malaysia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.
• Sejak tahun 1957, Perlembagaan Malaysia telah beberapa kali dipinda dengan tujuan melindungi kepentingan rakyat, menjaga keselamatan negara dan melicinkan urusan pentadbiran negara.
• Perlembagaan Malaysia boleh dipinda melalui empat cara sepertimana yang digariskan di bawah Perkara 159 dan 161E:
i. Mendapat pungutan suara majoriti biasa dari tiap-tiap buah Majlis Parlimen (a simple majority at both the Senate and the House of Representatives);
ii. Mendapat suara dua pertiga dari tiap-tiap Majlis Perlimen (two-thirds majority of the members of both houses) ;
iii. Mendapat suara dua pertiga dari tiap-tipa Majlis Perlimen dan mendapat keizinan daripada Majlis Raja-raja (consent of the Conference of Rulers) ;
iv. Perkara yang menyentuh Sabah dan Sarawak memerlukan pungutan suara dua pertiga Parlimen dan persetujuan Yang di-Pertua Negeri (consent of either the Yang diPertua negeri of Sabah or Sarawak) .

Artikel ini diletakkan berdasarkan rujukan daripada beberapa buku serta laman web serta blog. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.


PERLEMBAGAAN MALAYSIA - PENGENALAN 1

Penulis: KULANZSALLEH
PERLEMBAGAAN MALAYSIA - PENGENALAN 1

Pengenalan

Profesor Dicey berpendapat bahawa undang-undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja iaitu Prinsip Kedaulatan Parlimen dan Prinsip Kedaulatan Undang-Undang. Walau bagaimanapun, seperti mana yang dijelaskan oleh Tun Mohamad Salleh Abas (dalam Salleh Abbas, 1986), takrif yang diberikan tersebut tidak mencukupi kerana apa yang terkandung dalam perlembagaan itu merangkumi sesuatu yang lebih luas. Beliau juga telah menjelaskan bahawa perlembagaan itu ialah suatu surat atau surat cara yang mengandungi semua undang-undang tertinggi yang difikirkan mustahak bagi mewujudkan sebuah negara yang moden. Undang-undang tertinggi inilah yang menjadi punca bagi kesemua undang-undang sama ada yang sudah atau akan dibuat.

Konsep Perlembagaan

1. A. S. Hornby dalam Oxford Advanced Learner’s Dictionary.

Perlembagaan dimaksudkan sebagai satu sistem berkerajaan di mana undang-undang dan prinsip-prinsip kerajaan tersebut berpandukan bagaimanakah sesebuah negara itu diperintah.

2. Geoffrey Marshall dan Graeme C.Moodie dalam Some Problems of the Constitution.

Perlembagaan sebagai satu komposisi (gabungan) dan fungsi kepada prinsip bahagian-bahagian tertentu sesebuah negara yang mengawal kerajaan atau badan yang dikenali sebagai rakyat.

3. C.H. Pritchett dalam International Encyclopedia of Social Sciences.

Perlembagaan sesebuah negara itu sebagai satu rangka kerja peraturan perundangan yang menjadikan atau membuatkan sistem pemerintahan negara itu.

4. C.A. Leeds dalam bukunya, Politics.

Perlembagaan sesebuah negara bermaksud sebagai prinsip-prinsip atau dasar-dasar penting berpandukan kepada cara mana negara itu diperintah dan diisytiharkan, sama ada dalam undang-undang, adapt kebudayaan atau Majlis Piagam Perjanjian.

Pada asasnya, perlembagaan ditakrifkan sebagai prinsip asas yang mengasaskan sesebuah negara dan memperkenalkan sistem pemerintahan seperti yang termaktub sama ada dalam undang-undang atau adat perundangan. Perlembagaan adalah sejenis undang-undang yang mengandungi peraturan-peraturan yang boleh dikuatkuasakan. Beberapa konsep penting yang berkaitan dengan perlembagaan adalah:

0 Perlembagaan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan serta prinsip sebagai asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara
0 Perlembagaan sesebuah negara boleh wujud dalam bentuk bertulis dan juga tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia adalah contoh perlembagaan bertulis. Contoh perlembagaan tidak bertulis ialah perlembagaan United Kingdom.
0 Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik. Ia menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas, telus dan adil serta menjamin taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara.
Unsur-Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia

Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, Tanah Melayu semasa penjajahan British pada masa itu telahpun mempunyai perlembagaannya. Perlembagaan tersebut digubal berikutan penubuhan Malaysan Union 1946. Walau bagaimanapun Malayan Union telah mendapat bantahan daripada penduduk Tanah Melayu memandangkan perlembagaan yang dibentuk gagal memenuhi tuntutan dan kehendak rakyatnya. Ini adalah kerana banyak perlembagaan tersebut lebih menguntungkan pihak British berbanding rakyat negara ini. Bahkan perlembagaan tersebut juga dikatakan telah mengetepikan nilai-nilai tradisi masyarakat Melayu yang telahpun diwarisi sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.

Bagi memenuhi tuntukan rakyat pada masa itu, pihak British telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan seterusnya menggubal satu perlembagaan yang dapat memenuhi tuntutan rakyat di negara ini, khususnya berkenaan dengan nilai-nilai tradisi masyarakat pribuminya. Nilai-nilai tradisi yang dimaksudkan adalah: Kedudukan istimewa Raja-raja Melayu; Hak keistimewaan orang Melayu; Agama; dan Bahasa.

Berikut adalah penjelasan bagi keempat-empat nilai tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu.

1. Kedudukan Istimewa Raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong

Beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai kaitan dengan kedudukan istemewa Raja-raja Melayu ini termasuklah Perkara 32, perkara 41, perkara 42, Perkara 44, Perkara153, dan Perkara 122B, perkara 41.

Tradisi pemerintahan beraja di Tanah Melayu pada masa itu sudahpun menjadi amlan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Oleh sebab itulah unsur tradisi ini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana sudah sekian lama orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Tambahan pula, sistem pemerintahan beraja akan dapat meningkatkan taat setia rakyat raja dan negara ini. Ketaatan kepada raja dan negara akan dapat memupuk persefahaman ke arah perpaduan.

2. Agama Islam

Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4).

Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang bersatu padu. Berdasarkan falsafah Islam “membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia”, maka perlembagaan yang baik pasti akan menghormati hak-hak rakyat dalam negara tersebut, dan tidak cuba memaksa rakyat memperhambakan diri mereka kepada ideologi pemerintah. Peruntukan undang-undang seperti ini menunjukkan bahawa pemerintah amat bertoleransi dengan kaum-kaum lain yang mengamalkan agama yang berbeza. Perkara ini diberikan perhatian supaya masyarakat lain tidak berasa diketepikan atau ditindas dalam soal agama. Ini seterusnya akan dapat mewujudkan persefahaman dan permuafakan ke arah perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan agama.

3. Hak keistimewaan Orang-Orang Melayu

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak ada dinyatakan dalam Perkara 153. Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera meliputi: Bidang Perkhidmatan Awam – Perkara 153 (2, 3 dan 4); Bidang Ekonomi – Perkara 153 (6) dan Bidang Pelajaran – Perkara 153 (2, 3 dan 4). Selain itu, kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputera yang lain juga terdapat dalam peruntukan Perkara 89 dan 90, iaitu berhubung dengan tanah rizab Melayu; dan Perkara 8(5)(f) berkenaan kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan. Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Melihat dari sudut kepentingannya, kita sedar bahawa orang Melayu merupakan penduduk asli atau pribumi negara ini. Sehubungan itu adalah wajar orang-orang Melayu diberikan hak keistimewaan tersebut. Hal ini demikian kerana sebelum ini orang Melayu lebih banyak terlibat dalam bidang perikanan atau pertanian. Oleh itu adalah wajar orang-orang Melayu diberi keutamaan dalam kesemua aspek yang dinyatakan di atas bagi membolehkan mereka memperbaiki taraf hidup yang sebelum ini agak jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

4. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan

Perkara 152 (1) menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa ini secara automatiknya menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud “rasmi” ditakrifkan oleh Perkara 152 (6) dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.

Jika melihat dari aspek rasional kenapa bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa rasmi negara, aspek sejarah perlu dipertimbangkan. Berdasarkan sejarah, bahasa Melayu telahpun menjadi lingua franca sekian lamanya (Salleh Abbas, 1986). Jadi tujuan di sebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama.

Artikel ini diletakkan berdasarkan rujukan daripada beberapa buku serta laman web serta blog. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.

KONSEP NEGARA DAN KERAJAAN

Penulis: Anonymous
KONSEP NEGARA DAN KONSEP KERAJAAN




1.1 – Konsep Negara

Negara merujuk kepada suatu masyarakat yang menduduki sesebuah kawasan yang mempunyai had sempadan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan.
Secara umumnya, ciri-ciri sebuah negara ialah:

Sempadan atau wilayah yang tetap, jelas dan diiktiraf

Sempadan dikenali juga sebagai wilayah. Sempadan dalam konteks ini merangkumi sempadan tanah daratan, air dan udara. Setiap negara mempunyai sempadan/ kawasan/ wilayah yang tersendiri yang dihuni oleh penduduk atau rakyat negara itu. Dalam hal ini, keluasan sesebuah negara atau jumlah penduduknya tidaklah menjadi persoalan penting dalam mewujudkan sebuah identiti politik yang dinamakan negara itu. Contohnya, Singapura dan Brunei Darussalam tetap dianggap sebagai negara walaupun kedua-dua negara tersebut memiliki keluasan wilayah dan jumlah penduduk yang kecil.

Kesempadanan atau kewilayahan sesebuah negara bukan sahaja merangkumi kawasan tetapi juga melibatkan persekitaran sekeliling seperti sumber alam yang mencakupi wilayah geografi, udara dan laut. Selain itu, Malaysia juga mempunyai sempadan tanah, daratan dan laut antarabangsa seperti Thailand, Singapura dan juga Indonesia. Sempadan-sempadan yang wujud ini akan membatasi kuasa dan hak sesebuah negara untuk melakukan sebarang perkara di luar sempadan wilayahnya. Sekiranya batasan ini dilanggar oleh sesebuah negara, maka negara tersebut dianggap telah menceroboh wilayah negara yang lain.
Malaysia merupakan negara yang berkongsi sempadan darat dengan tiga buah negara jiran iaitu:
Thailand,Indonesia, dan Brunei.

Penduduk yang tetap

Penduduk tetap juga dikenali sebagai warganegara. Penduduk yang dimaksudkan ialah orang yang tinggal di sesebuah negara yang biasanya disatukan oleh suatu kesamaan dan bersama-sama mendiami suatu wilayah. Masyarakat ataupun penduduk yang mendiami wilayah kenegaraan tersebut akan berkongsi beberapa persamaan samada dari sudut nilai, sosial, ekonomi dan juga politik.

Seseorang rakyat yang menjadi penduduk sesebuah negara mempunyai hak dan tanggungjawab tertentu. Untuk layak menjadi rakyat sesebuah negara, seseorang itu harus mempunyai atau memenuhi syarat-syarat atau kewajipan-kewajipan seperti tinggal tetap di wilayah tertentu (bermastautin), cukup umur (bergantung kepada sesebuah negara), jantina, bangsa, dan agama. Misalnya di negara Arab, hanya penduduk yang beragama Islam sahaja mempunyai hak untuk mengundi.

Negara dalam ilmu sains politik pula berbeza dengan pertubuhan kerana keahlian dalam negara tidak secara sukarela dan seseorang tidak boleh berpaling tadah walaupun telah berhijrah dan menetap di negara lain.



Kerajaan yang sah dan teratur sistem pentadbirannya

Sesebuah negara mestilah mempunyai kerajaan atau pemerintah. Hal ini kerana, penduduk tetap yang menghuni sesuatu kawasan tadi memerlukan unit yang dinamakan kerajaan untuk mengurus dan mentadbir segala hal yang berkaitan dengan masyarakat berkenaan. Pemerintah atau kerajaan ialah organisasi yang mengatur dan memimpin negara. Tanpa kerajaan, tidak akan wujud sesebuah negara yang dikatakan baik dan sempurna.

Dalam pada itu, untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang baik dan berkesan, sesebuah kerajaan itu perlu mempunyai kewibawaan dan mempunyai kuasa membuat peraturan dan melaksanakannya dalam masyarakat. Konsep kerajaan dalam erti kata yang sebenar merujuk kepada fungsi-fungsi yang terlibat dalam pengurusan dan perjalanan hal ehwal sesebuah negara. Dalam konteks negara Malaysia, terdapat tiga komponen utama kerajaan iaitu:

1. Badan Perundangan (Legislatif)
Menggubal, meminda atau membatalkan undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada sesiapa pun dan tidak boleh mempunyai kuasa lain.

2. Badan Pemerintah (Eksekutif)
Menjalankan kuasa eksekutif dan tidak bolah membuat undang-undang.

3. Badan Kehakiman (Judisiari)
Mentafsir dan melaksanakan undang-undang dengan kuasa yang diberikan dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif.

Kedaulatan

Kedaulatan, iaitu mempunyai keupayaan untuk mengawal hal-ehwal dalam negara serta mempunyai kebebasan untuk mengadakan hubungan dengan negara-negara lain.
Ciri-ciri sesebuah negara juga dipengaruhi oleh faktor kedaulatan. “Kedaulatan” menurut K. Ramanathan (2002) berasal daripada perkataan Latin iaitu superanus yang membawa maksud keunggulan atau keagungan. Dengan kata lain, kedaulatan ialah kuasa sesebuah negara untuk membuat undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang dengan menggunakan segala kuasa yang ada padanya lantaran sifatnya yang mutlak. Kedaulatan dikatakan wujud kerana adanya wilayah. Kedaulatan dibahagikan kepada dua, iaitu kedaulatan politik dan kedaulatan yang sah. Kedaulatan politik ialah kekuasaan rakyat yang berfungsi apabila pilihan raya diadakan untuk memilih kerajaan sementara kedaulatan yang sah ialah kekuasaan tertinggi dalam undang-undang negara dan dimiliki oleh pemerintah. Menurut John Austin, undang-undang ialah kedaulatan yang memperlihatkan kepada kita bahawa aspek undang-undang dengan kedaulatan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

- Definisi Kerajaan

1. Ditakrifkan sebagai badan atau institusi yang bertanggungjawab menjalankan fungsi-fungsi pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara
2. Tiga komponen utama dalam kerajaan dan fungsinya :

- Sistem Kerajaan



1. Kerajaan Kesatuan
o Gabungan beberapa buah negeri dengan pemusatan kuasa oleh Kerajaan Pusat.
o Kerajaan Pusat mempunyai kuasa untuk membatalkan undang-undang yang telah dilulusankan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri atau pentadbiran tempatan mendapat arahan daripada Kerajaan Pusat. Maka, Kerajaan Pusat lebih berkuasa berbanding dengan kerajaan negeri dan tempatan.
o Contoh-contoh kerajaan kesatuan ialah Britian, Belgium, Itali, Denmark, Sweden, New Zealand, Norway, Perancis, Korea Selatan, Jepun, dan Kesatuan Soviet yang telah runtuh.



2. Kerajaan Konfederasi
o Kuasa kerajaan terletak dalam tangan kerajaan-kerajaan negeri.
o Kerajaan Pusat mempunyai kuasa yang terhad untuk mengawal pentadbiran
o Kerajaan Konfederasi tidak kuasa yang mencukupi untuk dianggap sebagai kerajaan yang stabil kerana kerajaan ini diwujudkan melalui perjanjian yang longgar
o Kerajaan Konfederasi tikdak lagi wujud pada hari ini.
o Contoh-contoh kerajaan Konfederasi ialah Konfederasi Jerman Utara 1867-1871 dan Perlembagaan Empayar Jerman 1871-1918.Kini Krjn Konfederasi tidak lagi wujud.



3. Kerajaan Persekutuan
o Kerajaan Persekutuan ialah gabungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri atauKerajaan Tempatan:
o Setiap peringkat kerajaan mempunyai autonomi perundangannya sendiri dalam perkara-perkara tertentu.
o Kerajaan Pusat lazimnya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas hal-hal dalam negeri seperti agama, tanah, perhutanan dan perkara-perkara yang tidak memerlukan keseragaman
o Contoh-contoh Kerajaan Persekutuan ialah Amerika Syarikat, Brazil, Australia, India, Malaysia dan Kanada.

1.3 - Bentuk Negara

1. Bentuk negara ditakrifkan sebagai pentadbiran dan perundangan di sesebuah negara
2. Terdapat beberapa bentuk negara. Antaranya:

- Kerajaan Monarki

Pemerintahan beraja atau Monarki (dari bahasa Yunani "monos archein", bermaksud "satu pemerintah") merupakan sejenis kerajaan di mana Raja menjadi ketua negara. Monarki atau sistem pemerintahan beraja adalah sistem tertua di dunia. Pada awal kurun ke-19, terdapat lebih 900 buah takhta kerajaan di dunia, tetapi menurun kepada 240 buah dalam abad ke-20. Manakala pada dekad kelapan abad ke-20, hanya 40 takhta sahaja yang masih kekal. Daripada jumlah tersebut, hanya empat negara mempunyai raja atau monarki yang mutlak dan selebihnya terhad kepada sistem perlembagaan.
1. Raja/Sultan atau Ratu menjadi pemerintah dan berkuasa sepenuhnya.
2. Jawatan ini dipegang seumur hidup dan warisan takhta berdasarkan keturunan
3. Pentadbiran dijalankan oleh Raja atau Ratu dan lazimnya ahli keluarga atau kaum kerabat memonopoli kuasa eksekutif.
4. Contoh-contoh Kerajaan Monarki ialah Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Brunei Darussalam.

- Kerajaan Republik

1. Ketuanya ialah Presiden yang lazimnya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.
2. Kerajaan Republik tidak mempunyai raja dan Presiden bertindak sebagai ketua eksekutif.
3. Contoh-contoh Kerajaan Republik ialah Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, India, Perancis, Portugal, dan Singapura.

- Kerajaan Demokrasi

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.
1. Kerajaan Demokrasi dibentuk berasaskan konsep " Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat ".
2. Antara ciri Kerajaan Demokrasi ialah
o Rakyat mempunyai hak-hak asasi, persamaan, dan kebebasan.
o Pilihan raya diadakan dari masa ke semasa.
o Warganegara yang berusia 21 tahun ke atas berhak mengundi serta berhak bertanding dalam pilihan raya.
o Proses pengundian dijalankan secara sulit dan kemenangan majoriti sesebuah parti politik akan membolehkan parti politik tersebut memerintah
o rakyat memilih wakil-wakil dalam badan perundangan
3. Kerajaan Demokrasi juga mengamalkan doktrin pengasingan kuasa.
4. Kerajaan Demokrasi terdiri daripada Demokrasi Berparlimen dan Demokrasi Berpresident.
5. Kerajaan Demokrasi Berparlimen mempunyai Raja/Presiden sebagai ketua negara yang mempunyai kuasa simbolik.
6. Contoh Kerajaan Demokrasi Berparlimen ialah Malaysia, Thailand, Singapura, Jepun, dan India
7. Kerajaan Demokrasi Berpresiden pula mempunyai Presiden yang merupakan ketuaeksekutif negara.
8. Contoh Kerajaan Demokrasi Berpresiden ialah Amerika Syarikat dan Filipina.

Demokrasi Berparlimen

Dalam sisitem berparalimen, badan perundangan yang tertinggi kuasanya ialah parlimen. Negara-negara yang mengamalkan sistem ini ialah Britain, Jepun, Malaysia, dan India. Parlimen terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih dalam pilihanraya umum, yang selalunya diadakan sekurang-kurangnya lima tahun sekali. Parlimen (legislature) ialah badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang negara. Tugasnya ialah menggubal undang-undang dan dasar-dasar melalui kuasa yang diberi kepadanya oleh undi rakyat.

Sistem demokrasi berparlimen terbahagi kepada dua, iaitu dua dewan. Pertama, dewan yang yang dipilih oleh orang ramai melalui pilihanraya umum dan yang kedua, dewan yang ahli-ahlinya dilantik oleh ketua negara: atau institusi-institusi tertentu yang ditugaskan oleh perlembagaan untuk berbuat sedemikian. Britain, India dan Malaysia adalah contoh negara yang mempunyai sistem seperti ini. Singapura, Denmark dan Sweden mempunyai hanya satu dewan yang ahli-ahlinya dipilih secara langsung oleh pengundi.

Parti atau gabungan parti-parti yang mempunyai majority kerusi dalam parlimen akan membentuk kerajaan. Kerajaan ini yang akan mengemukakan dasar-dasar dan rang undang-undang untuk perbahasan dan dan keputusan. Ahli-ahli parlimen biasa, termasuk pembangkakng, boleh juga membentangkan rang undang-undang tetapi lazimnya ini dilakukan oleh parti yang memerintah. Rang undang-undang ini diteliti oleh parlimen. Setiap rang undang-undang melalui tiga tahap – bacaan pertama, di mana rang undang-undang tersebut diedarkan kepada ahli-ahli parlimen; bacan kedua, di mana perbahsan umum diadakan; dan bacaan ketiga, di mana rang undang-undang itu dikaji fasal demi fasal. Selepas diluluskan oleh dewan rakyat, rang undang-undang tersebut akan dikemukakan di dewan kedua pula, (dipanggil senat, dewan negara dan sebagainya) iaitu bagi parlimen yang mempunyai dua dewan. Di senat perbincangan juga diadakan di tiga peringkat bacaan. Selepas diluluskan oleh senat rang undang-undang itu dikemukakan kepada ketua negara-raja atau presiden untuk ditandatangani. Selepas ditandatangani dan digazetkan ia dianggap sebagai rang undang-undang.

Oleh kerana kabinet yang mengemukakan rang undang-undang dan dasar-dasar, sama ada dalam bidang pendidikan, pertahanan atau pembangunan ekonomi, maka kabinetlah yang sebenarnya merupakan penggubal undang-undang. Ahli-ahli kabinet memainkan peranan utama dalam perdebatan dan perbincangan tentang sesuatau dasar itu. Tetapi menteri-menteri kabinet bukan sahaja berperanan dalam proses perundangan, mereka juga mengetuai kementerian-kementerian yang melaksanakan dasar-dasar yang diluluskan oleh parlimen. Sebagai contoh, menteri pengangkutan bukan sahaja bertanggungjawab menggubal dasar-dasar pengangkutan, beliau juga yang menyelia dasar-dasar itu dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kerajaan (atau birokrasi). Menteri-menteri dan birokrasi (pentadbiran) kedua-duanya bertanggungjawab melaksana. Badan perlaksanaan ini dipanggil eksekutif dan pentadbiran awam.

Legislatif (perundangan) dan ekskutif adalah dua cabang terpenting dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Walaupun dua badan ini berbeza daripada segi fungsi dan kedudukan undang-undang, daripada segi lain pula mereka mempunyai hubungan sangat rapat. Menteri-menteri kabinet memainkan peranan utama dalam kedua-dua badan ini. Itulah sebabnya apa yang berlaku dalam sistem demokrasi berparlimen ini selalu digelar sebagai satu “fusion of power” ataupun satu “percantuman kuasa” justeru itu juga ada ahli teori yang mengatakan bahawa sistem demokrasi berparlimen adalah bertentangan dengan semanagat konsep pengasingan kuasa dalam teori demokrasi liberal.

Demokrasi berparlimen juga mempunyai institusi yang bertanggungjawab memastikan bahawa undang-undang dijalankan dengan adil. Ini ialah badan kehakiman (judiciary). Satu perbezaan yang menarik tentang badan ini di antara demokrasi berparlimen dan demokrasi berpresiden ialah kehakiman dalam sistem yang pertama itu kurang kuasanya jika dibandingkan sistem berpresiden. Badan kehakiman di negara-negara demokrasi berpresiden seperti Amerika Syarikat lebih bebas dan berkuasa jika dibandingkan di negara-negara demokrasi berpresiden seperti England, Jerman Barat dan Kanada. Mengikut teori demokrasi, badan kehakiman adalah bebas daripada kawalan politik. Hakim-hakim dilantik oleh ketua negara dan bukannya oleh kabinet walaupun perlantikan oleh ketua negara itu adalah di atas nasihat perdana menteri, iaitu ketua parti memerintah dan seorang ahli politik. Hakim-hakim tidak boleh disingkirkan oleh kabinet atau parti yang memerintah. Jawatan hakim dibezakan daripada jawatan-jawatan kerajaan yang lain. Gaji, kenaikan pangkat dan syarat-syarat perkhidmatan mereka adalah di bawah jagaan satau Suruhanjaya Kehakiman yang tersendiri.

Kebebasan kehakiman adalah salah satu daripada kekuatan sistem demokrasi. Kebebasan ini memastikan bahawa keadilan dapat dilaksanakan dengan berkecuali dan hakim-hakim dapat menjalankan tugas mereka tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Hakim-hakim bebas untuk mentafsirkan undang-undang yang diluluskan oleh parlimen mengikut fahaman mereka tentang keadilan pelaksanaanya. Kebebasan kehakiman ini merupakan ukuran terpenting dalam menentukan sifat demokratik sesuatu sistem politik itu.

Demokrasi Berpresiden

Merupakan sebuah sistem demokrasi yang presidennya berkuasa dalam pemerintahan sebagaimana mengikut corak pemerintahan negara Amerika Syarikat. Sistem demokrasi ini berbeza daripada sistem demokrasi berparlimen seperti yang diamalkan oleh Great Britain. Dalam sistem ini, presiden menjadi ketua negara dan juga ketua kerajaan serentak. Presiden dan ahli kabinetnya tidak menganggotai dewan perundangan atau kongres, walaupun begitu semua keputusan kongres perlu mendapat perakuan presiden sebelum dilaksanakan. Presiden melantik anggota kabinet atas nama setiausaha seperti setiausaha pertahanan dan pelajaran. Dalam maksud lain, beliau merupakan seorang yang sangat berkuasa dalam pemerintahan negaranya.

Kerajaan Totalitarian

1.Sistem pemerintahan Totalitarian hanya membenarkan kewujudan satu parti sahaja.
2.Kelemahan sistem ini ialah, rakyatnya dipaksa untuk mentaati pemerintah.
3.Sistem komunikasi dan ketenteraan dikuasai oleh pemerintah.
4.Hak kebebasan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian disekat.
5.Contoh kerajaan Totalitarian yang pernah wujud ialah Jerman semasa zaman pemerintahan Adolf Hitler dan pemerintahan Musollini di Itali serta Stalin di Rusia.

- Kerajaan Autokrasi

1. Diterajui oleh individu atau golongan tertentu yang mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan.
2. Kebebasan awam dan kehakiman terhad dan rakyat dipaksa mematuhi kerajaan.
3. Contoh sistem pemerintahan autokrasi wujud pada masa darurat dan dalam pemerintahan komunis.

1.4 - Pengasingan Kuasa

1. Doktrin pengasingan kuasa ini diperkenalkan oleh Montesquieu, seorang ahli falsafah Perancis menerusi bukunya yang berjadual The Spirit of Laws
2. Pembahagian kuasa kerajaan kepada tiga badan, iaitu:
o Badan perundangan seperti Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
o Badan eksekutif seperti Kabinet dan Kementeriannya
o Badan Kehakiman seperti Mahkamah-Mahkamah
3. Tujuannya adalah untuk
o Mengelakkan tumpuan Kuasa yang tidak terhad oleh mana-mana badan di atas
o Mengelakkan penyalahgunaan kuasa
o Menjamin pentadbiran yang lebih cekap
o Menjamin rakyat mendapat keadilan undang-undang

- Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia



" X " diwakil oleh kuasa relatif dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan dan Sultan atau Yang Dipertua Negeri di peringkat Negeri.

Artikel ini diletakkan berdasarkan rujukan daripada beberapa buku serta laman web serta blog. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.

Sabtu, 9 Jun 2012

MENCARI MAKLUMAT MENERUSI INTERNET

Penulis:Noraziah Sharuddin
MENCARI MAKLUMAT MENERUSI INTERNET

Banyak kini diperkatakan mengenai Internet dan maklumat yang boleh diperolehi melaluinya. Teknologi terkini ini berpotensi untuk menjadi penyebar maklumat yang boleh menyumbang kepada maklumat yang berguna untuk sesuatu pengumpulan maklumat atau penyelidikan yang sedang dijalankan. Adalah amat penting kita mengetahui strategi pencarian yang patut digunakan apabila ingin mendapatkan maklumat yang menepati keperluan kita. Dengan ini ianya akan dapat menjimatkan masa pencarian. Artikel ini ditulis dengan objektif untuk memberi penerangan ringkas semua mengenai pencarian maklumat yang berkesan melalui WWW khusus untuk semua pengguna yang baru ingin mencuba menggunakannya. Sebelum mengetahui kaedah pencarian tersebut, kita perlu mengetahui beberapa perkara asas mengenai Internet.

Apakah Internet?

Internet secara umumnya merujuk kepada gabungan jaringan komputer yang berkomunikasi menggunakan sistem pertuturan yang sama dikenali sebagai TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol). Ia berfungsi sebagai satu rangkaian yang besar menghubungkan badan kerajaan, komersial, Institusi Pendidikan dan individu di seluruh dunia.

Tiap komputer mempunyai nombor IP iaitu sinonim bagi alamat internet yang berbeza antara satu sama lain. Alamat IP merupakan nombor yang merujuk kepada sesebuah komputer. Ia terdiri dari 4 angka yang dipisahkan oleh titik (dot). Contohnya ialah 161.139.36.1 bagi Sistem Perpustakaan Sultanah Zanariah. Selain dari alamat IP, sese-buah komputer juga boleh dikenali melalui "Domain Name System (DNS) yang mudah diingati berbanding dengan alamat IP. Contoh "DNS entry" ialah "psz.utm.my" atau "lib.usm.my". Sistem ini menggunakan hanya abjad yang membahagikan peringkat-peringkat rangkaian sesebuah komputer menggunakan titik (dot). Antara "domain" adalah :
.com - Syarikat komersial
.edu - Institusi Pendidikan
.net - Perkhidmatan rangkaian seperti Internet NICs (Network Information Centers)
.org - Organisasi yang kebanyakkannya tidak ber-asaskan keuntungan
.mil - Jaringan Institusi Ketenteraan
.gov - Organisasi Kerajaan
.uk - United Kingdom
.de - germany

Kemudahan yang diberikan oleh Internet

Internet menyediakan pelbagai kemudahan yang antara lainnya termasuklah Telnet iaitu mengakses sesebuah komputer dari jarak jauh, ‘IRC chat’ iaitu berbual dengan individu lain di merata dunia, menghantar dan menerima mel, rangkaian ‘newsgroup’, memindahkan fail antara satu komputer dengan komputer yang lain (ftp) dan akses ke WWW (World Wide Web).

WWW

‘World Wide Web’ merupakan kemudahan dari Internet yang begitu popular di seluruh dunia masakini. Dengan jangkamasa yang singkat ia telah menjadi begitu popular di peringkat global sejak ianya dimulakan oleh dua orang ahli fizik iaitu Tim-Berners-Lee dan Robert Cailliau di European Particle Physics Laboratory (CERN) Geneva, Switzerland pada tahun 1990. Dari hanya sebanyak 500 tapak Web pada tahun 1990, ia telah meningkat kepada 11,500 pada tahun berikutnya dan tidak dapat dipastikan jumlah sebenar tapak Web yang ada kini.

Terdapat beberapa konsep dalam WWW yang harus difahami. Ini termasuklah pelayar WWW (WWW browser) yang memaparkan fail ‘hypertext’ untuk membolehkan-nya dibaca. Antara ‘browser’ yang popular adalah Netscape, Mosaic, Cello dan Winweb.

Apa itu hypertext?

Hypertext adalah satu bentuk teknologi yang membolehkan teks dihubungkan diantara satu sama lain. Ia membolehkan pembaca mendapat maklumat yang berkaitan dengan hanya menekan perkataan yang dihubungkaitkan (linkable word) atau ‘hot button’. Hypertext bersifat interaktif dengan menunjukkan hubungkait antara satu perkara dengan perkara yang lain. Pencarian ini memberi peluang kepada pembaca membuat perayauan di Web dan mendapat maklumat dengan lebih mendalam bagi sesuatu tajuk/perkara yang ingin diketahui. Kini terdapat pula konsep ‘hypermedia’ yang mampu memberi imej, bunyi, klip video dan lain-lain media yang mampu diterjemahkan oleh komputer.

HTML (Hypertext Markup Language)

HTML merupakan bahasa penghubung bagi Web. Ianya merupakan format kod sumber dimana tapak Web dibentuk dan maklumat darinya disebarkan. HTML adalah berdasarkan format standard untuk membentuk dokumen yang dikenali sebagai SGML (standard generalized markup language). HTML ditulis dalam bentuk teks ASCII yang mudah. Apabila kita menggunakan HTML, kita boleh mengedit dengan menggunakan mana-mana editor teks.

URL (uniform resource locator ) URL merupakan alamat yang mengenalpasti sesuatu tapak Web yang ingin dihubungi. Ianya membolehkan manusia dan pelayar Web mengetahui dengan tepat di-mana dan bagaimana untuk mendapatkan maklumat/fail tertentu.

Isu yang terlibat dengan Internet

Cabaran dalam menggunakan WWW kini adalah terdapatnya terlalu banyak maklumat daripada jutaan sumber dari seluruh dunia. Kita kini dibanjiri oleh maklumat yang kadangkalanya tidak berkualiti. Adalah menjadi satu masalah untuk kita menilai maklumat yang disediakan didalam Internet memandangkan tiadanya sekatan atau tapisan untuk men-yumbang maklumat ke WWW. Timbul juga masalah untuk mendapatkan kembali maklumat memandangkan terlalu banyak maklumat sedangkan masa kita untuk menggunakan sistem ini adalah terhad. Tentunya amat mengecewa-kan jika hasil pencarian yang dibuat tidak seperti yang diharapkan setelah berjam-jam duduk di depan komputer.

Bagi mengelakkan perkara seperti ini berlaku, perlu ada satu kaedah serta strategi pencarian maklumat yang berkesan untuk memastikan masa yang kita luangkan dihadapan komputer untuk melawat tapak web dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Enjin Pencarian

Terdapat lebih dari 200 enjin pencarian yang boleh digunakan untuk mencari maklumat di dalam Internet. Apabila kita ingin memulakan pencarian di WWW, kita mesti terlebih dahulu mengetahui beberapa jenis kaedah pencarian dan merancang dua proses yang penting iaitu mencari enjin pencarian (search engine) yang bersesuaian dan merancang pencarian supaya tapak web yang paling menepati keperluan maklumat muncul pertama sekali dalam senarai hasil pencarian.

Pencarian Direktori dan Indeks

Terdapat dua pendekatan yang boleh digunakan apabila kita membuat pencarian menggunakan enjin pencarian. Anda boleh memilih untuk membuat pencarian samada berasaskan Indeks atau kategori (category-based). Alta Vista, HotBot, Open Text Index dan World Wide Web Worm adalah contoh enjin pencarian yang menggunakan Indeks. Pencarian berasaskan Indeks adalah bersifat luas dan merupakan pencarian dari berjuta tapak web serta artikel yang dihasilkan oleh ‘usenet newsgroup’ dan dihasilkan oleh perisian komputer (computer-generated). Indeks ini dibina oleh 'Web crawler' iaitu program komputer yang mendapatkan kembali fail HTML, mengimbas dan mengindeks semula kandungannya serta mendapatkan fail yang dihubungkan (linked files). Dengan hanya memasukkan kata-kunci dan frasa tertentu kedalam kotak pencarian, anda akan mendapat sejumlah besar tapak web yang mengandungi katakunci pencarian tersebut. Walau bagaimanapun pencarian menggunakan Indeks memerlukan latihan untuk membiasakan diri. Ia memerlukan kita bijak dalam memilih katakunci dan frasa dimana jika katakunci yang digunakan terlalu luas, kita akan diberikan terlalu banyak tapak yang tidak mengikut susunan. Kebiasaannya kita memerlukan 2 katakunci untuk memperolehi tapak yang hampir menepati pencarian. Enjin pencarian yang berasaskan kategori seperti ‘Yahoo’, ‘Magellan’ dan 'WWW Virtual Library' mempunyai kelebihan dimana topik yang dipecahkanadalah mengikut kategori dan dilakukan oleh manusia yang mengenalpasti kategori mengikut perkara tertentu. Ia tidak dihasilkan oleh program komputer seperti pada Indeks.

Direktori menghubungkan senarai tapak Web berkaitan yang dibahagikan mengikut kategori dan sub-kategori. Dengan melihat begitu banyak senarai tapak Web dibawah sesuatu perkara tertentu, anda akan temui tapak web yang dirasakan menepati kehendak maklumat yang dicari. Oleh kerana direktori ini dihasilkan oleh manusia, terdapat ulasan bagi tiap tapak Web yang disyorkan sebagai panduan sebelum memasuki terus tapak tersebut. Contohnya jika anda menggunakan Yahoo dan mencari maklumat mengenai ‘Basketball’, anda mestilah memilih kategori utama yang dipaparkan iaitu ‘Recreation’ dan kemudian anda hendaklah memilih sub-category iaitu Sports dan seterusnya Basketball dari senarai yang dipaparkan. Semua senarai tapak Web yang diberikan oleh Yahoo telah dikenalpasti terlebih dahulu oleh kakitangannya dan maklumat yang anda perolehi sudah pastinya tidak memasukkan tapak Web yang dibina oleh orang perseorangan yang tiada kredibiliti dalam bidang tersebut. Walau bagaimanapun terdapat juga enjin pencarian yang mengabungkan kedua-dua pen-dekatan diatas seperti Excite, Infoseek, Lycos dan WebCrawlers.

Strategi Teknik pencarian maklumat

Teknik mengemukakan pencarian maklumat melalui enjin pencarian juga amat penting diketahui bagi memastikan kita mendapat kualiti dalam penghasilannya. Kebiasaannya kita mencari maklumat dengan hanya memasukkan katakunci atau frasa sahaja! Sebenarnya kita juga boleh menggunakan kaedah ‘Boolean’ dalam pencarian tersebut. Kebanyakan enjin pencarian menggunakan kaedah ini tetapi ada juga yang boleh menggunakan simbol yang berbeza. Contohnya adalah Alta Vista yang menggunakan juga tanda + bagi AND dan - bagi NOT. Apakah sebenarnya kaedah ‘Boolean’? ‘Boolean’ bermaksud menghadkan atau mengabungkan skop pencarian dengan mengunakan perkataan yang dikenali sebagai ‘Boolean operators’ iaitu 'AND, OR dan NOT'. 'AND, OR and NOT’ berfungsi menhubungkan antara satu katakunci dengan yang lain manakala ‘AND and NOT’ boleh mengecilkan skop pencarian manakala OR boleh meluaskan skop pencarian. Jika kita memasukkan perkataan ‘internet searching skills’, enjin pencarian akan menganggap kita mencari maklumat bagi ‘Internet OR searching OR skills’. Maklumat mengenai salah satu dari tiap perkataan itu yang terdapat dimana-mana tapak Web akan disenaraikan. Jika kita ingin mendapatkan semua maklumat pula kita harus menggunakan AND iaitu ‘Internet AND searching AND skills’. Enjinpencarian akan hanya mencari tapak web yang mengabungkan ketiga-tiga perkataan yang dicari. Perlu diingatkan bahawa kita mestilah menggunakan huruf kecil bagi menaipkan katakunci melainkan kita ingin mencari nama khas (proper names). Kita juga boleh menggunakan simbol & (ampersand) bagi menggantikan AND.

Selain dari itu kita juga boleh menggunakan tanda ‘quotation’ bagi frasa (phrase) yang mana enjin pencarian akan hanya mencari frasa tersebut. Terdapat beberapa enjin pencarian yang memberikan lebih banyak kemudahan menghad/meluaskan atau menapis pencarian. Alta Vista contohnya memberipilihan mengecilkan pencarian dengan menghadkan tapak Web mengikut jangkamasa tarikh yang tertentu sahaja ataupun mengkelas-kan katakunci mengikut hireki dengan menggunakan simbol (…..) (parenthesis). Beberapa enjin pencarian lain seperti Lycos menggunakan tanda $ bagi pencarian ‘wildcard’ iaitu mencari apa sahaja perkataan mengikut sesuatu katakunci, contohnya ‘comp$’ akan menghasilkan perkataan seperti ‘computer’, ‘computing’ dan lain-lain lagi.

Penilaian maklumat dari Internet

Maklumat yang diperolehi dari Internet perlulah dinilai dari segi kualitinya, kesahihannya, ketepatannya dan kekiniannya. Terdapat beberapa cara kita boleh menilai samada maklumat yang diterima melalui Internet boleh dipercayai atau tidak.

1. Kenalpasti tapak web yang menepati bidang anda

Kita mestilah melawati beberapa tapak web yang dirasakan berkaitan dengan bidang kita dan kenalpasti tapak yang paling menepati maklumat dibidang tersebut. Untuk memudahkan kita menyimpan alamat tapak tersebut, kita hanya perlu menggunakan kemudahan ‘Add bookmark’. Langkah yang perlu dibuat hanyalah:

1. Klik Bookmark dan tetingkapnya akan memaparkan ‘add bookmark’
2. Klik ‘add bookmark’ dan tapak Web yang sedang dilawati akan dimasukkan ke senarai Bookmark kita.
Dengan adanya Bookmark ini, apabila kita ingin melawat tapak ini dilain kali, kita hanya perlu klik 'bookmark' dan pergi ke 'View Bookmark' dan klik tapak web yang diingini untuk dihubungkan terus ke tapak tersebut.

2. Kesahihan dan Penanggung-jawab sumber maklumat

Kita mesti memastikan penyumbang kepada tapak web dimana maklumat diperolehi boleh dipertanggungjawabkan atau tidak. Maklumat yang diberikan oleh sesebuah Institusi yang mempunyai reputasi yang tinggi seperti Institusi Pendidikan, Organisai kerajaan, Institusi Penyelidikan tentunya lebih dipercayai dari maklumat yang diberikan oleh individu perseorangan.

3. Kekinian Maklumat dan Jangkamasa Kemaskini

Perlu juga kita menilai samada sesuatu maklumat itu adalah terkini ataupun telah lapuk. Ini dapat dibuat dengan meliha tarikh sesutau maklumat di Web itu disediakan dan tarikh ianya dikemaskini. 4. Isi Kandungan dan Ketepatan Maklumat

Terdapat tapak Web yang pada tajuknya kelihatan seperti menepati maklumat yang kita ingini tetapi kita mestilah memastikan isi kandungannya menepati tajuk/perkara yang dibincangkan. Jangan hanya tertarik dengan tajuk tapak Web yang seperti indah khabar dari rupa!

Kaedah pemindahan maklumat dari WWW

Maklumat yang diperolehi dari WWW boleh juga dipindahkan kedalam bentuk kertas atau disket dan juga boleh di e-mel kepada orang lain. Beberapa kaedah utama yang ringkas diberikan disini sebagai panduan bagi anda yang ingin mencuba. Walau bagaimana-pun pastikan anda tidak melanggar undang-undang hakcipta!!

a. Mencetak maklumat dari WWW

Bagi memindahkan maklumat ke bentuk kertas, pastikan PC dihubungkan ke pencetak.

1. Dari tapak web, klik ‘file’ dan dari tetingkap klik ‘print preview’ untuk melihat draf bahan yang ingin dicetak
2. Klik ‘print’ dan klik ‘ok’.

b. Bagi memindahkan data ke fail lain di PC yang sama atau ke disket.

Kita boleh juga berbuat demikian dengan mengikut langkah berikut :

1. Dari tapak Web, tekan ‘save as’ dan tetingkap akan bertanya lokasi yang ingin di pindahkan data iaitu ‘save in’.
2. Jika kita mahu memindahkan data ke direktori C, nyatakan file didalam direktori tersebut dimana maklumat akan dimasukan.
3. Pastikan kita menyatakan format file yang ingin dipindah, samada ‘plain text’, ‘all files’ atau HTML file. Kebiasaannya kita memilih ‘plain text’ untuk membaca maklumat tersebut dalam bentuk teks biasa.
4. Klik ‘save’ dan selesai.

Membaca semula fail yang telah dipindahkan.
1. Pergi ke Perisian yang dipilih bagi pemindahan maklumat yang telah dibuat.
2. Buka nama fail yang telah di ‘save’ tadi dan kini anda boleh membaca atau edit fail tersebut.

c. Kaedah ‘cut’ and ‘paste’

Anda juga boleh meng-gunakan kaedah ini dengan meng-ikuti langkah berikut :
1. ‘Highlight’ maklumat yang ingin di salin. Jika anda mahu menyalin kesemua maklumat dalam sesuatu fail, klik arahan ‘select all’ di 'tool bar'.
2. Klik arahan ‘edit’ dan pilih ‘copy’ di 'tool bar'.
3. Buka mana-mana Perisian Wordprocessing dan buka’ file’ dan pilih ‘new’.
4. Klik ‘edit’ dan ‘paste’ maklumat dari tapak web ke fail baru ini.
5. Kini anda boleh membaca atau edit fail ini dan jangan lupa untuk ‘save’ fail.

d. Kaedah e-mel fail

Jika anda melawati sesuatu tapak dan ingin berkongsi maklumat yang diperolehi dengan rakan-rakan yang lain, anda boleh menggunakan kemudahan e-mel yang diberikan oleh ‘browser’.

Kaedahnya ialah :
1. Tekan ‘file’ dan pilih ‘mail document’ dari tetingkap.
2. Isikan maklumat alamat e-mel dalam kotak yang disediakan
3. Tekan arahan ‘send’.

Kesimpulan
Maklumat yang terlalu banyak di WWW merupakan satu peluang baik bagi kita untuk menambah maklumat bagi kerja penyelidikan dan membuat 'assignment' yang sedang dijalankan. Ia juga mungkin merupakan cabaran yang harus di tangani dengan bijak dengan membuat penilaian yang sewajarnya disamping turut menguji kesabaran kita dalam menunggu maklumat dipaparkan di skrin. Adalah amat penting membiasakan diri menggunakan WWW kerana hanya dengan latihan sahaja kemahiran dapat diperolehi.

Artikel ini diletakkan berdasarkan rujukan daripada beberapa buku serta laman web serta blog. Walau demikian fakta yang diberikan mungkin hanya relevan semasa artikel ini ditulis. Bagi mengelakkan kesilapan fakta, pembaca diingatkan agar membuat rujukan daripada sumber-sumber terkini jika hendak menggunakannya sebagai bahan penulisan ilmiah.